
Kerajaan akan terus menambah baik sistem pengangkutan awam dan jalan raya di seluruh negara menerusi pelbagai inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk pembinaan infrastruktur baharu, penaiktarafan laluan sedia ada serta pelaksanaan subsidi perjalanan bagi rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebanyak 1,200 unit bas dan 300 unit van transit responsif (DRT) akan ditambah bagi meningkatkan ketersambungan batuan pertama dan akhir, khususnya di bandar-bandar utama.
Selain itu, beliau berkata 217 set tren penumpang baharu juga akan diperkenalkan bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan rel.
“Kerajaan juga terus memastikan kos pengangkutan awam yang berpatutan. Pas perjalanan bulanan dan pas perjalanan khas kepada pelajar, warga emas dan OKU (Orang Kurang Upaya) serta program subsidi tiket penerbangan udara kepada pelajar akan diteruskan,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat.
Perdana Menteri berkata pembangunan infrastruktur berskala besar kekal menjadi keutamaan dalam RMK13 untuk memperkukuh keterhubungan antara wilayah serta merangsang pertumbuhan kawasan sekitar secara terancang
Antara projek utama sedang dilaksanakan adalah pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Pantai Barat Semenanjung, Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru dan sistem E-ART di Wilayah Iskandar, Johor; serta Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, Pulau Pinang.
“Inisiatif ini turut mempercepat pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang menyatukan elemen pengangkutan dengan perumahan, komersial dan perkhidmatan kaunter awam,” katanya.
Anwar berkata dalam masa sama, kerajaan akan meneruskan menaik taraf laluan sedia ada dan pembinaan jalan baharu bagi memastikan akses yang lebih lancar.
Beliau berkata antara projek tumpuan termasuk menaik taraf Lebuhraya PLUS laluan Senai Utara-Machap, Johor; Lebuhraya PLUS laluan Juru-Sungai Dua, Pulau Pinang; pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU), Pahang dan Kelantan; Lebuhraya Pan Borneo, Sabah dan Lebuhraya Trans Borneo di Sarawak.
Beliau berkata tumpuan juga diberikan kepada jalan luar bandar, dengan pembinaan dan naik taraf sepanjang 2,800 kilometer dijadualkan dalam tempoh RMK13 melibatkan projek seperti jalan utama dari Nanga Serau ke Nanga Seranau, Kapit, Sarawak; jalan dari jambatan Sungai Air Tawar ke Hutan Melintang, Bagan Datuk, Perak; dan jalan Pos Sinderut, Lipis, Pahang.
“Inisiatif road-to-rail bagi memindahkan sebahagian besar pergerakan kargo daripada jalan raya akan meningkatkan kadar penggunaan landasan daripada enam peratus kepada 13 peratus dan sekali gus risiko kemalangan jalan raya Insya-Allah dapat dikurangkan,” katanya.