KAMM 912T Coupe dan Targa, gaya klasik dengan ciri moden, lebih RM1.2 juta

74

KAMManufaktur melancarkan rasmi model terbaharu, KAMM 912T. Model jelajah (touring) tempahan khas ini direka dan dibangunkan khusus untuk peminat pemanduan yang menghargai setiap perjalanan.

KAMM 912T mengekalkan ciri-ciri unggul yang ada pada model-model KAMM lain seperti reka bentuk timeless, ketepatan binaan ringan dan pengalaman pemanduan analog yang sejati dan kini dengan penekanan tambahan pada keselesaan dan kecanggihan.

Pelancaran 912T ini susulan penghantaran global model 912C yang kini sedang rancak berjalan.

Kejuruteraan dan Reka Bentuk Jelajah (Touring)

Berbanding 912C yang lebih berorientasikan prestasi litar dan jalan raya, 912T dibangunkan untuk menawarkan versi jelajah yang lebih santai.

Walaupun reka bentuk 912 adalah klasik timeless, 912T telah diubah suai sebagai sebuah sports tourer yang memberikan keselesaan lebih tinggi tanpa menjejaskan keseronokan pemanduan.

Pembinaan kereta sport klasik yang ringan adalah teras falsafah KAMM. Walaupun ciri-ciri keselesaan pada 912T menambahkan sedikit berat, model ini masih 100 kilogram (kg) lebih ringan daripada 912 asal, menjadikan berat keseluruhannya 860 kg.

Faktor utama kepada berat ringan adalah penggunaan gentian karbon yang dihasilkan secara dalaman untuk perkakasan badan utama termasuk bampar, fender, bonet, dan penutup but.

912T menggunakan pintu logam dan tingkap kaca.

Prestasi Enjin dan Transmisi

Kakitangan KAMM yang berpengalaman, terdiri daripada bekas jurutera Porsche Motorsport, Singer, dan Koenigsegg memberi perhatian mendalam pada enjin empat silinder 616 yang terkenal.

Enjin 2.0 liter penyejuk udara ini mampu menghasilkan 163 kuasa kuda (hp) dengan 201Nm tork.

Garis merah RPM diturunkan kepada 6,500 rpm berbanding 912C, memastikan pemanduan yang lebih bersahaja apabila diperlukan, namun tetap menyajikan prestasi yang mengujakan apabila diminta.

Sistem ekzos jelajah tanpa injap dipasang untuk memberikan rasa yang lebih santai.

Transmisi ditala semula untuk memastikan pengalaman pemanduan yang lebih lancar dan berorientasikan jelajah.

Kotak gear asal 901 5-kelajuan dogleg telah dinaik taraf oleh KAMM, dengan corak gear jelajah khusus untuk 912T.

Sistem pautan dan penukar cepat turut dibangunkan oleh KAMM, bersama dengan pembeza gelincir terhad ZF dan klac hidraulik tempahan khas.

Keselesaan dan Teknologi Dalaman

Sama seperti transmisi, sistem suspensi juga ditala khas. KAMM 912T dilengkapi  sistem suspensi Tractive satu hala yang ditala untuk memberikan keselesaan pemanduan yang lebih baik, sambil mengekalkan dinamik pengendalian yang cemerlang.

Pelanggan boleh memilih antara rim aloi 15 inci Fuchs klasik atau rim aloi 15 inci dengan gaya steelies yang menarik.

Di bahagian dalaman, tempat duduk KAMM 912T direka dan dibuat khas oleh Fusina untuk keselesaan yang optimum.

Paparan meter Smiths yang dihasilkan mengikut spesifikasi KAMM oleh Caerbont Automotive menjadi tumpuan utama.

Pelbagai pilihan tersedia untuk meningkatkan lagi rasa kehalusan, termasuk sistem audio yang tersembunyi secara bijak dengan Bluetooth dan pengecasan telefon tanpa wayar.

Ketersediaan dan Harga

Harga KAMM 912T bermula dari €245,000 (RM 1,206,105.60) tidak termasuk kereta.

Pengeluaran 912T akan bermula pada awal tahun 2026 dan akan dibina dalam kumpulan yang terhad, iaitu lima unit sahaja.

Slot sudah boleh ditempah dengan deposit sebanyak €10,000 (RMRM 49,228.80).

KAMM 912T Coupe 

KAMM 912T Targa

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here