Utama Berita Automotif Lampu solar dipasang KKDW 5 kali ganda lebih mahal daripada pasaran

Lampu solar dipasang KKDW 5 kali ganda lebih mahal daripada pasaran

854

Seorang Ahli Parlimen dari Sarawak, Datuk Larry Sng Wei Shen mempersoal kos pemasangan lampu solar di kawasan pedalaman yang dikendalikan kerajaan yang didakwa mencecah lima kali ganda berbanding harga pasaran.

Perkara itu dinyatakan Larry (GRS-Julau) ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat semalam sewaktu membangkitkan mengenai isu ketirisan dalam peruntukan yang disalurkan kerajaan.

“Satu lagi contoh ketirisan adalah kos yang tinggi bagi harga sebatang tiang lampu solar yang diperuntukkan oleh KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) dikatakan mencecah RM10,000 sebatang, walhal harga sebenar tiang lampu solar untuk 1,000 megawatt adalah kurang RM2,000 sebatang termasuk pemasangan,” katanya.

Terdahulu, Larry mencadangkan kerajaan supaya menyalurkan peruntukan untuk projek melalui geran tidak lebih RM500,000 untuk dilaksanakan secara kaedah gotong-royong di Sabah dan Sarawak.

Melalui kaedah ini, beliau berkata kos untuk sesuatu projek itu boleh dikurangkan tanpa menjejaskan kualiti.

Beliau memberi contoh kejayaan projek komuniti di kawasan Julau yang mana infrastruktur jalan raya berjaya ditambah baik dalam tempoh singkat dengan kos di bawah RM500,000.

“Pada 2019, projek pembinaan jalan Ulu Kota, Julau ditender sebanyak RM300,000… projek tak dapat disiapkan dalam masa yang dijangkakan, projek terpaksa ditender semula beberapa kali dan akhirnya siap pada 2023.

“Sebaliknya, projek jalan Entabai pada tahun ini kita menyalurkan sumbangan untuk gotong-royong projek jalan yang lebih panjang dengan kos RM200,000… projek dapat disiapkan dalam enam hari sahaja dengan kualiti setanding kerja dilaksanakan kontraktor luar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbang peruntukan tambahan sehingga RM1 juta bagi kawasan luar bandar bagi menyokong projek infrastruktur berasaskan komuniti.

“Saya cadangkan Kerajaan Persekutuan pertimbang peruntukan tambahan sekurang-kurangnya RM1 juta kepada semua Ahli Parlimen di luar bandar khusus untuk (laksana) projek (secara) gotong-royong.

“Ia (langkah ini) supaya dapat membantu mempercepat pembangunan luar bandar tanpa terlalu bergantung kepada KKDW, di samping menjimatkan kos dan (membantu penduduk luar bandar) menerima manfaat dengan lebih cepat,” katanya.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here