
Seramai 40 warga Bangladesh telah diberi Notis Penolakan Masuk (NTL) ke Malaysia oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) pada Selasa.
AKPS dalam kenyataan berkata, penolakan kemasukan itu dibuat selepas semakan dokumen perjalanan, tujuan kemasukan dan tiket pulang.
“AKPS mendapati niat kemasukan mereka mencurigakan serta tidak mematuhi syarat yang ditetapkan. Kesemua mereka akan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Menurutnya, tindakan itu diambil berdasarkan maklumat awal dan trend kemasukan yang dikesan dalam operasi pemantauan di sini pada pagi Selasa.
“Mereka merupakan sebahagian daripada 134 warganegara asing yang diperiksa sejurus mendarat menerusi dua penerbangan dari Dhaka antara jam 1 pagi hingga 6 pagi,” katanya.
AKPS memaklumkan jumlah kes NTL telah meningkat daripada 900 kes pada Mei, kepada 987 kes pada Jun dan 1,134 kes pada Julai lalu.
AKPS menegaskan bahawa pemantauan di pintu masuk negara akan terus diperketat, terutamanya pada awal pagi, bagi mengekang cubaan masuk daripada sektor penerbangan berisiko tinggi.