
Terjahan skuter kembara (adventure) atau lasak begitu hebat kebelakangan ini. Pengguna tempatan dihidangkan pelbagai jenama dan segmen dari segmen aras mula hingga premium.
Selari dengan kegunaannya, skuter kembara boleh digunakan di laluan off-road dan tidak hanya di celah-celah hutan batu.
Bagi pemilik skuter kembara yang ingin mencuba menunggang di laluan off-road anda mungkin tertanya-tanya bagaimana untuk memulakan pengembaraan ini.
Panduan yang dikongsikan oleh SYM ini, merangkumi aspek teknikal dan praktikal dan boleh membantu penunggang baharu.
Sedia maklum SYM sendiri menawarkan pelbagai skuter kembara seperti Husky 150, Husky 300 dan ADXTG 400.
Berikut 10 panduan yang diolah semula dari SYM
1. Pandang Lebih Jauh
Apabila berada di laluan tidak berturap, penunggang jalan raya kadangkala menjadi gementar dan hanya memandang roda hadapan.
Teknik memandang lebih jauh membolehkan penunggang membaca keadaan jalan lebih awal.
Kepelbagaian permukaan tidak berturap menjadikan teknik ini sangat penting walaupun untuk off-road ringan.
2. Tenangkan Bahagian Atas Badan
Bahagian atas badan yang tenang membantu mengurangkan ketegangan ketika menerima maklum balas daripada permukaan beralun atau licin.
Walaupun off-road ringan tidak terlalu sukar, ia boleh menyebabkan penunggang jalan biasa cepat tegang.
3. Naikkan Siku
Siku perlu diangkat seperti penunggang motocross, bukan kedudukan biasa penunggang jalan raya.
Skuter pengembaraan SYM dilengkapi hendal lebar yang sesuai untuk tunggangan tidak berturapdan kedudukan siku yang lebih tinggi memudahkan tindak balas.
4. Posisi Kaki Standard
Gunakan bahagian lantai yang rata sahaja dan abaikan bahagian yang condong.
Bahagian rata memberikan kedudukan kaki yang kukuh dan stabil, serta merupakan pilihan terbaik untuk tunggangan off-road. Kaki yang dirapatkan akan menambah kestabilan.
5. Matikan Kawalan Cengkaman Jika Perlu
Permukaan tidak berturap mempunyai tahap cengkaman lebih rendah dan mudah mengaktifkan kawalan cengkaman.
Apabila ini berlaku, kuasa enjin akan dikurangkan untuk mengelakkan putaran berlebihan, sekali gus mengurangkan kuasa roda belakang.
Berbeza dengan jalan bertar, tunggangan off-road memerlukan lebih putaran roda untuk mengekalkan momentum.
Jika lampu penunjuk TCS berkelip atau kuasa enjin terasa terhad dan motosikal tidak bergerak lancar, mematikan kawalan cengkaman mungkin wajar dipertimbangkan.
6. Guna Tayar Pengembaraan
Skuter kembara SYM dilengkapi tayar pengembaraan untuk kegunaan pelbagai keadaan.
Tayar ini sesuai di jalan berturap dan juga direka untuk permukaan tidak berturap ringan.
Tekanan tayar yang terlalu tinggi boleh mengurangkan cengkaman dan menyukarkan kawalan.
Rujuk cadangan tekanan tayar asal dan tetapkan sebelum memulakan perjalanan.
7. Elakkan Pasir Dalam
Menunggang di pasir keras atau cetek tidak terlalu membimbangkan, namun pasir lembut dan dalam memerlukan kemahiran lanjutan.
Penunggang baharu disarankan mengelak daripada menunggang di pasir lembut sehingga kemahiran tersebut dikuasai.
8. Isi Penuh Tangki Minyak
Bagi perjalanan jauh yang melibatkan off-road ringan, pastikan tangki minyak diisi penuh sebelum memasuki laluan tidak berturap.
Membawa petrol simpanan juga boleh menjadi pilihan.
9. Bawa Bekalan Minuman dan Snek
Air dan makanan ringan penting untuk perjalanan pengembaraan. Keletihan boleh menjadi penghalang utama, jadi berhenti seketika di lokasi sesuai adalah langkah bijak.
Sentiasa pastikan kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata.
10. Bawa Rakan
Menunggang bersama rakan atau teman memberi kelebihan dari segi keselamatan dan bantuan segera di kawasan terpencil.
Selain itu, teman juga boleh membantu merancang perjalanan pengembaraan yang lebih baik.