
Kami tidaklah tergamak untuk menggelarkan projek ini “tidak waras”, tapi hanya orang yang berfikir di luar kotak sahaja yang mampu merealisasikan sebuah motosikal dengan enjin V8.
Ini merupakan sebuah projek gila yang dihasilkan oleh Max Hazan, dinamakan sebagai HF355.
View this post on Instagram
Enjin V8 yang dimaksudkan itu bukanlah enjin yang biasa-biasa, sebaliknya a diperoleh daripada supercar Ferrari F355 yang dihasillkan antara tahun 1994 hingga 1999.
Nadi 400 hp itu dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan, dan mempunyai berat sekitar 107 kg.
Disebabkan enjin yang agak berat, jadi berat keseluruhan motosikal kustom ini mencecah sehingga 250 kg, atau 45 kg lebih berat berbanding sportsbike 1,000 cc tipikal.
Max Hazan turut memadankan sistem penyejukan khas untuk enjin tersebut, diikuti dengan sistem ECU, suspensi dan ekzos yang dihasilkan khas.
Malah, hampir keseluruhan binaan badan motosikal ini dihasilkan sendiri oleh Max Hazan menggunakan acuan kustom dan bahan komposit termasuklah winglet aerodinamik dan skrin penghadang angin akrilik.
Untuk mengekalkan perkadaran penampilan sportbike klasik, Max Hazan telah memendekkan jarak antara roda kepada 1,600 mm.
Cabaran utama sudah pasti aspek ergonomik penunggang, jadi Max Hazan menghabiskan banyak masa untuk memastikan ketinggian pelana, lokasi pemijak kaki dan bar hendal mudah untuk dicapai.
Apa yang pasti, projek HF355 ini bukanlah direka untuk produksi massa berdasarkan tahap kerumitan proses pembuatan yang terpaksa ditempuh.
Namun, jika diberikan peluang, adakah anda mahu menyimpan sebuah superbike bernadikan enjin Ferrari di dalam garaj peribadi?