
Sebuah sedan elektrik Xiaomi SU7 Ultra dikesan keluar dari pintu pagar ibu pejabat Ferrari yang terletak di Maranello, Itali baru-baru ini.
Besar kemungkinan, sedan elektrik buatan China itu sedang dijadikan bahan kajian oleh Ferrari sebagai sebahagian usaha untuk membangunkan model EV pertama jenama Prancing Horse, iaitu Elletrica EV.
Xiaomi SU7 Ultra kini merupakan EV produksi yang paling pantas mengelilingi Nurburgring, dengan catatan masa 7:04.957 mengalahkan Porsche Taycan.
Sebelum itu, sebuah prototaip Ultra mencatatkan rekod masa 6:22.091 di litar yang sama.
Dari segi prestasi, SU7 Ultra menampilkan tetapan tiga motor elektrik yang mampu menghamburkan kuasa 1,526 hp, dengan pecutan 0-100 km/j sepantas 1.98 saat.
Dengan menggunakan SU7 Ultra, Ferrari mungkin sekali menumpukan perhatian kepada platform elektrik serta perkara berkaitan seperti pengurusan haba sewaktu pemanduan berprestasi dibuat.
Berdasarkan maklumat dalaman, EV pertama Ferrari akan dihasilkan dalam unit terhad supaya pelanggannya dapat membiasakan diri dengan sebuah Ferrari tanpa enjin.
Namun begitu, Reuters bulan lepas melaporkan EV kedua Ferrari ditangguhkan pengenalannya sehingga tahun 2028 disebabkan permintaan yang tidak menggalakkan.