
Perjalanan pulang seorang guru besar selepas melawat abangnya bertukar tragedi apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu terbakar di jalan utama berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Guai, Bera pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Mohd Sabri Bakar, 59, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Hijau, Jerantut, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan Proton Preve yang dipandu mangsa dari arah Jambatan Guai menuju ke Kampung Guai.
“Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dan terbakar 80 peratus.
“Mangsa sempat dikeluarkan oleh orang awam sebelum kereta tersebut terbakar namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata kenderaan tersebut akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan manakala proses bedah siasat dijalankan di Hospital Bera pada Rabu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan(APJ) 1987 dan Zulkiflee turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian agar tampil membantu siasatan.