Lagi kes kereta Singapura isi RON95

61

Isu kenderaan bernombor pendaftaran Singapura mengisi petrol bersubsidi RON95 di negeri ini berulang lagi, kali ini melibatkan sebuah SUV dari republik berkenaan di sebuah stesen minyak di Pandan.

Menerusi perkongsian video tular berdurasi 22 saat, kejadian dipercayai berlaku pada tengah hari Khamis.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, sepasukan pegawai agensi itu sudah dihantar ke stesen minyak itu untuk membuat siasatan sebaik menerima laporan dan makluman awam.

“Setiap gambar atau video tular memaparkan kenderaan pendaftaran asing isi minyak RON95, maka kita akan buka kertas siasatan. Seterusnya tindakan akan diambil melalui pasukan Ops Tiris Penguatkuasa

“Siasatan kes tular di Pandan akan menjurus kepada aduan pengadu yang mendakwa telah memaklumkan kejadian itu kepada petugas kaunter stesen, namun tiada tindakan diambil kerana petugas mendakwa tidak menyedarinya,” katanya.

Beliau mengingatkan pemilik stesen minyak supaya bertanggungjawab memastikan hanya kenderaan milik warganegara dibenarkan mengisi petrol bersubsidi RON95.

Katanya, sesi libat urus bersama semua pengusaha stesen minyak di Johor termasuk wakil syarikat pembekal telah diadakan sebelum ini bagi mengingatkan kepentingan mematuhi peraturan tersebut.

Pada 4 Ogos lalu, tular di media sosial gambar seorang pemilik kenderaan mewah bernombor pendaftaran Singapura mengisi RON95 ke dalam sebuah botol plastik besar di sebuah stesen minyak dipercayai  di Nusa Sentral, selepas didakwa turut memenuhkan bahan api itu untuk kenderaannya.

Empat hari kemudian, tular lagi gambar seorang lelaki mengisi minyak bersubsidi itu ke dalam kereta bernombor pendaftaran negara jiran, dipercayai di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Senai–Desaru (SDE).

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here