Kos pemasangan roller barrier lima kali ganda lebih mahal

291

Pemasangan penghadang jalan berputar atau ‘roller barrier’ memerlukan kos sebanyak RM2,500 semeter iaitu lima kali ganda berbanding penghadang jalan besi yang hanya RM500 semeter di jalan raya utama negara ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata peruntukan yang terhad menyebabkan pemasangan penghadang jalan berputar sukar dilaksanakan secara menyeluruh di Malaysia. 

“Ya…bukan hanya sebagai kos tetapi kos memainkan peranan penting. Penghadang besi yang kita nampak banyak digunakan di semua jalan di Malaysia ini kosnya adalah RM500 semeter.

“Tetapi kos untuk penghadang ‘roller’ yang ada kita buat di dua atau tiga tempat sebagai percubaan adalah RM2,500 satu meter, jadi lima kali ganda lebih tinggi.

“Kita bukan tidak mahu menggunakan (roller barrier) tetapi peruntukan terhad menyebabkan kita guna penghadang besi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan M Prabakaran (PH-Batu) sama ada kerajaan akan merangka piawaian baharu bagi pembahagi jalan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya di negara ini.

Pada masa sama, Ahmad berkata, penghadang jalan hanya dapat berfungsi dengan optimum sekiranya pemandu mematuhi had kelajuan yang dibenarkan.

Tambah beliau, pemasangan jenis penghadang jalan alternatif atau inovasi seperti pembahagi fleksibel, getah atau ‘roller barrier’ perlu dikaji dengan teliti.

Katanya, ia perlu berdasarkan fungsi keupayaan, kesesuaian lokasi dan implikasi kos sebelum penggantian penghadang besi dan konkrit dilaksanakan secara berperingkat.

“Meskipun penghadang jalan dipasang, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk tidak memandu melebihi had laju yang ditetapkan.

“Sekiranya kenderaan dipandu melebihi had laju, daya hentaman yang berlaku mungkin melebihi keupayaan penghadang jalan untuk menyerap impak, sekali gus mengurangkan keberkesanannya.

“Oleh itu, penghadang jalan hanya dapat berfungsi dengan optimum sekiranya pemandu mematuhi had kelajuan yang dibenarkan,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here