
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif mengakui bukan satu perkara mudah untuk kembali menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) di Malaysia.
Ia berikutan kos penganjuran yang mungkin mencecah lebih RM300 juta setahun, sekaligus bakal memberikan impak cukup besar kepada operasi kewangan dalam usaha memastikan F1 berjalan lancar.
Beliau berkata, keputusan Malaysia untuk tidak lagi menganjurkan perlumbaan itu selepas edisi 2017 merupakan tindakan yang merugikan selain berharap penganjuran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) tidak mengalami nasib sama.
“Kita tidak mahu mengulangi kesilapan lalu, iaitu kita melepaskan penganjuran F1 dan sekarang amat sukar untuk mendapatkannya semula. saya harap perkara sama tidak berlaku kepada MotoGP.
“Jika mahu menganjurkan semula F1, kita perlu membayar yuran perlumbaan sebanyak USD70 juta (RM330 juta) bagi setiap edisi. Itu belum termasuk kos persiapan sekitar RM10 hingga RM20 juta dengan jumlah keseluruhan lebih RM300 juta setahun,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia pernah menganjurkan perlumbaan F1 di Sepang bermula 1999 hingga 2017 sebelum kerajaan mengambil keputusan untuk menghentikan penganjuran ekoran kos yang terlalu tinggi.
Dalam pada itu, Shafriman turut menggesa semua pihak supaya berganding bahu sekiranya mahu melihat F1 kembali ke bumi Malaysia selain menegaskan, keuntungan tidak dapat diperoleh dalam tempoh singkat.
“Bukan SIC sahaja yang mahu F1 kembali, namun pihak-pihak lain juga inginkan perkara itu. Kita perlu tengok bagaimana Singapura buat, mereka mendapat sokongan penuh daripada kementerian, sektor korporat dan hotel,” ujarnya.