
Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu memberi jaminan membantu melancarkan perjalanan program RXZ Member 7.0 dengan memastikan keselamatan peserta yang hadir ke tapak acara yang dijadual berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus pada 22 hingga 23 Ogos ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, pihaknya tidak bercadang menyita mana-mana motosikal sepanjang program berlangsung, sebaliknya menumpukan usaha ke arah kerjasama erat bersama masyarakat.
“PDRM Terengganu komited membantu serta mempermudahkan kehadiran para peserta, selaras dengan cogan kata ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” katanya.
Beliau menjelaskan, laporan sebuah akhbar pada Isnin lalu yang menyatakan kesediaan polis menyita kenderaan merujuk kepada rekod penganjuran RXZ Member 6.0 yang mana sebanyak 15 motosikal disita kerana mengubahsuai tanpa mengikut spesifikasi peraturan jalan raya.
Katanya, semua peserta diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan bersama.
“PDRM Terengganu menegaskan bahawa tiada kenyataan seperti yang dilaporkan (akhbar terbabit) dikeluarkan semasa sidang media berkaitan RXZ Member 7.0 pada 17 Ogos (Ahad) lalu.
“Bagi penganjuran kali ini, tiada sebarang operasi atau tindakan ‘menahan pukat’ seperti yang digembar-gemburkan di media sosial,” katanya.