
Perjalanan dua penunggang motosikal ke program RX-Z Members di Terengganu berakhir tragedi apabila motosikal yang ditunggang terbakar di KM100 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Politeknik Muadzam Shah di Rompin, pada malam Khamis.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Bhai Sharif Mondoi berkata kejadian kira-kira jam 10.10 malam itu melibatkan sebuah Yamaha RX-Z dan sebuah Suzuki TXR150 yang dalam perjalanan dari arah Johor menuju ke Terengganu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati penunggang Yamaha RX-Z berusia 41 tahun dipercayai terjatuh di atas jalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Dalam masa sama, sebuah Suzuki TXR150 yang ditunggang lelaki berusia 34 tahun datang dari arah belakang di laluan sama sebelum melanggar motosikal berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua motosikal terseret di atas permukaan jalan sebelum terbakar manakala kedua-dua penunggang berjaya diselamatkan oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya penunggang Yamaha RX-Z mengalami kecederaan pada tangan kiri selain luka pada badan, tangan dan kaki.
Manakala seorang lagi penunggang Suzuki TXR150 mengalami kecederaan di bahagian kepala serta luka pada tangan, kaki dan badan.

“Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah bagi menerima rawatan kecemasan dan masih dirawat,” katanya.
Sharif Bhai memberitahu, pemeriksaan di lokasi mendapati kemalangan berlaku di jalan lurus dua lorong dua hala dengan permukaan jalan rata dan kering.
Menurutnya, keadaan di lokasi ketika kejadian adalah gelap tanpa lampu jalan, manakala cuaca dilaporkan baik serta tidak hujan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






























