Utama Berita Automotif Cukai jalan mati sejak 2003, JPJ sita lori dipandu warga asing

Cukai jalan mati sejak 2003, JPJ sita lori dipandu warga asing

9
 
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka menyita sebuah lori yang dipandu oleh seorang warga Bangladesh dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) sekitar negeri berkenaan pada Khamis. 
 
Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa muatan bahan racun serta mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans yang telah tamat tempoh sejak tahun 2003.
 
Menurut kenyataan, rekod pemeriksaan berkala Puspakom bagi kenderaan tersebut juga didapati telah tamat tempoh.
 
“Pemandu lori berkenaan turut dikesan tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) yang sah.
 
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan beberapa kesalahan teknikal pada kenderaan terbabit. Susulan itu, lori berkenaan telah disita untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
 
Di samping itu, pemilik berdaftar kenderaan juga akan dikenakan tindakan dan disaman untuk hadir ke mahkamah kerana membenarkan kenderaan digunakan tanpa dokumen serta kelayakan yang sah.
 
Kegagalan memperbaharui LKM sejak tahun 2003 menunjukkan kenderaan berkenaan telah berada di atas jalan raya tanpa bayaran cukai jalan yang sah untuk tempoh lebih dua dekad.
 
“JPJ Negeri Melaka menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan tanpa kompromi terhadap pemandu dan pemilik kenderaan yang mengabaikan undang-undang, khususnya melibatkan kenderaan perdagangan serta pengangkutan bahan yang boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan awam,” ujarnya. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here