
Lebih 40 kenderaan termasuk motosikal hangus dalam kebakaran sebuah bengkel tayar di Seksyen 24, Shah Alam semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata seorang lelaki tempatan yang juga pekerja bengkel berusia 30-an cedera ringan.
Bomba terima panggilan kecemasan jam 11.31 malam sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam serta BBP Bukit Jelutong ke lokasi kejadian.
“Premis berkenaan terbakar 90 peratus menyebabkan 37 kereta serta tujuh motosikal musnah,” katanya.
Beliau berkata, tiada mangsa dalam bangunan ketika kebakaran dan hanya seorang pekerja bengkel melecur di tangan kerana ingin mengalihkan kenderaan.
Kebakaran dikawal pada jam 12.26 tengah malam dan operasi tamat pada jam 2.31 pagi, pada Isnin.