Pakar : Gegaran lebih kuat kemungkinan akan berlaku di Semenanjung

41

Gegaran yang lebih kuat berbanding di Segamat berkemungkinan akan berlaku di Semenanjung Malaysia sekiranya melibatkan sesar lama yang aktif semula.

Pakar kejuruteraan gempa bumi, Dr Azlan Adnan berkata, kawasan sesar aktif yang telah dikenalpasti ialah di Bukit Tinggi (Pahang), Kuala Pilah (Negeri Sembilan), Manjung dan Temenggor (Perak) serta Tasik Kenyir (Terengganu).

Menurut beliau, zon yang perlu diberi perhatian juga melibatkan kawasan Pantai Barat dan tengah Semenanjung Malaysia iaitu sekitar latitud dua hingga empat darjah utara.

“Koridor ini merangkumi bandar-bandar penting seperti Klang, Kuala Lumpur, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat, Segamat dan Kluang.

“Kajian hazard menunjukkan bahawa kawasan ini mempunyai nilai Percepatan Puncak Tanah (PGA) yang lebih tinggi berbanding tempat lain.

“Keadaan itu disebabkan kedudukannya yang berhampiran dengan sumber gempa bumi di Sumatera serta kewujudan beberapa sumber setempat yang aktif, sekali gus meningkatkan risiko gegaran di kawasan tersebut,” katanya.

Azlan berkata, gegaran tersebut bukan fenomena luar biasa, sebaliknya boleh berulang.

Malah jelas beliau, Malaysia bukan ‘kalis gempa’ kerana berada berhampiran sumber besar Sumatera dan ada sesar lama di Semenanjung yang kadang-kadang aktif semula.

“Jadi kebarangkalian gegaran setempat lagi memang ada mungkin kecil, bertambah besar tetapi tidak sifar.

“Dari sudut kejuruteraan, walaupun gegaran sekarang dianggap kecil tapi penting kerana ia adalah petanda yang sering mendedahkan kelemahan pada bangunan yang tiada perincian seismik minimum. Perlu berwaspada, bukan panik,” jelasnya.

Sementara itu, beliau menyarankan agar peta hazard dikemas kini dengan data 2025 dengan menggabungkan sumber Sumatera dan intraplate tempatan.

“Kita juga perlu mikro-zonasi bandar dengan menyasarkan beberapa bandar antaranya Johor Bahru, Segamat, Kluang, Lembah Klang, Melaka, Seremban, Ipoh, dan Pulau Pinang,” ujarnya.

ARTIKEL LAIN

#Tips: Jika Malaysia dilanda gempa bumi dan sedang memandu, jangan panik lakukan 4-langkah ini!

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here