
Lotus Elise milik pempengaruh media sosial, Fadhil Mohamad Isa, lebih dikenali sebagai ‘Kadok’ atau ‘Cardock’, musnah terbakar di Jalan Kuching-Serian, petang semalam.
Menerusi perkongsian di akaun Facebook miliknya dirinya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Alhamdulillah saya tak apa-apa. Takpe, kereta boleh saya cari ganti. Yang penting kenangan bersama Lotus elise ni saya tak akan lupa selamanya. The best car ever!!!!!
“Dah puas nangis, so just move on jak sebab hidup mesti diteruskan. Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang cuba padamkan kebakaran dan juga kepada yang menelefon bomba. Dan terima kasih kepada abang-abang bomba tadi,” tulisnya.

Sementara itu, Harian Metro melaporkan menerusi TikTok Live Cardock berkongsi kejadian berlaku ketika sedang memandu kereta sukan itu bersama isterinya.
Selepas mendapati asap berkepul dari bahagian enjin, dia berhenti mengejut sebelum api marak dengan cepat.
Katanya, dia cuba menggunakan alat pemadam api yang disimpan di dalam kereta, tetapi ia tidak berfungsi dan gagal memadamkan kebakaran.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran, 5.46 petang.
Katanya, enam anggota bomba Balai Bomba Siburan (BBP Siburan) bergegas ke lokasi dan Lotus Elise itu sudah musnah terbakar sepenuhnya.
“Tiada kecederaan dilaporkan. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.