
Tidak semua model perlu diganti baharu sebagai contoh Lexus IS yang dikeluarkan sejak 2013 dan menjalani program rupa baharu pada 2017 dan 2021.
Nampakanya IS akan terus berada di jalan raya selepas Lexus sekali lagi mempertingkatkannya dan kekal bergaya dan menyerlah.
Model rupa baharu ketiga untuk generasi ketiga ini akan dilancarkan di pelbagai pasaran bermula awal tahun 2026.
Sejak kemunculan pertama pada tahun 1999, IS telah menjadi lambang keseronokan pemanduan.
Selama lebih 25 tahun, ia telah mewakili intipati pengalaman pemanduan Lexus dengan jualan kumulatif sekitar 1.3 juta unit di 40 negara.
Pembangunannya melibatkan ujian berintensiti tinggi untuk memperhalusi ciri pemanduan unik yang dikenali sebagai Lexus Driving Signature.
Rekaan Baharu dan Ukuran Bertambah
Reka bentuk luaran dikemas kini dengan muka hadapan baharu yang menyerlahkan pusat graviti rendah dan kedudukan (stance) lebar.
Jeriji hadapan kini menampilkan reka bentuk spindle body baharu, di mana bahagian atasnya menggunakan riasan berwarna badan kereta dan logo Lexus dipindahkan ke tempat baharu.
Reka bentuk belakang pula hampir tidak berubah, kecuali tulisan Lexus yang menggantikan logo di bahagian but belakang.
Model F SPORT menambah daya tarikan dengan spoiler belakang baharu dan rim aluminium ringan 19-inci yang direka dengan jejari nipis.
Pilihan warna luaran bertambah kepada lapan pilihan, dengan penambahan warna Neutrino Gray.
Dimensi luaran sedikit berubah dengan panjang keseluruhan meningkat 10mm kepada 4,720mm. Ukuran lain kekal sama iaitu lebar 1,840mm, tinggi 1,435mm hingga 1,440mm dan jarak roda 2,800mm.
Dalaman dan Teknologi Canggih
Bahagian dalaman direka dengan fokus pada kefungsian.
Panel instrumen dan paparan maklumat hibur kini berukuran 12.3 inci dan beroperasi melalui skrin sentuh, membolehkan pad sentuh di konsol tengah dikeluarkan.
Pengecas tanpa wayar ditempatkan di konsol tengah, selain panel kawalan iklim baharu yang lebih kompak.
Kemasan baharu Forged Bamboo digunakan pada konsol tengah dan sekeliling suis pengidup, manakala warna dalaman baharu Prominence mewujudkan suasana kabin yang sporti.
Prestasi dan Ciri Keselamatan
Dalam prestasi pemanduan, tumpuan diberikan kepada penambahbaikan rasa stereng dan kestabilan.
Sistem Stereng Kuasa Elektrik (EPS) menggunakan motor inersia rendah dan gear rak selari, memberikan maklum balas stereng yang lebih lancar.
Sistem Adaptive Variable Suspension (AVS) pula menggunakan penggerak solenoid linear terbina dalam, yang meningkatkan tindak balas daya redaman sebanyak kira-kira empat kali ganda.
Meskipun spesifikasi enjin penuh belum dikeluarkan, model IS 350 dijangka menggunakan enjin 3.5L V6 sedia ada dengan output 318 PS dan 380Nm.
Ia akan ditawarkan dengan pacuan roda belakang (8AT) atau pacuan semua roda (6AT).
IS 300h digerakkan nadi hibrid hibrid dengan transmisi E-CVT dan dijangka menggunakan enjin 2.5L 4-silinder.
Ciri keselamatan turut ditingkatkan melalui penambahan ciri pada Lexus Safety System+, termasuk Proactive Driving Assist (PDA) dan Advanced Drive [Lexus Teammate Advanced Drive].