
Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) mengumumkan bahawa rangkaian minyak enjinnya kini secara rasmi menerima Lesen Pensijilan Produk Tulen SIRIM daripada SIRIM QAS International.
Pensijilan itu menjadi bukti komitmen BHPetrol dalam menawarkan produk minyak enjin yang berkualiti tinggi, selamat dan berprestasi optimum kepada pengguna di Malaysia.
30 Produk Minyak Enjin Disahkan SIRIM
Sebanyak 30 produk minyak enjin BHPetrol kini diperakui oleh SIRIM membabitkan:
- SynGard – Minyak Enjin Kereta Penumpang
- Trans – Minyak Enjin Kenderaan Komersial & Diesel
- Dash – Minyak Enjin Motosikal
Langkah berkenaan selaras dengan arahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), yang menetapkan bahawa bermula 7 Oktober 2025, semua produk minyak enjin tanpa label SIRIM tidak lagi dibenarkan dijual di pasaran.
Pelekat QR Rasmi Untuk Pengesahan
Bagi memastikan ketelusan, BHPetrol akan menambah pelekat kod QR rasmi SIRIM pada setiap produk:
- Hijau muda – untuk produk baharu yang dihasilkan dan dibungkus.
- Merah jambu muda – untuk stok sedia ada di pasaran.
Pelekat QR membolehkan pengguna mengesahkan ketulenan produk dengan mudah, selain menjamin pematuhan sepenuhnya terhadap piawaian ketat SIRIM QAS International.
Lindungi Pengguna, Sokong Pasaran Tempatan
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Ir Azizul Azily Ahmad (kanan gambar di atas) berkata, pensijilan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab syarikat untuk melindungi pengguna serta menyahut seruan kerajaan agar masyarakat hanya menggunakan minyak enjin tulen dan berkualiti.
Beliau menambah, pengiktirafan SIRIM itu juga diyakini akan mengukuhkan pasaran produk BHPetrol dengan bantuan rangkaian pengedar di seluruh negara.
Dengan pensijilan rasmi SIRIM, pengguna kini boleh lebih yakin bahawa minyak enjin BHPetrol yang mereka gunakan bukan sahaja tulen, malah menepati piawaian kualiti.
































