
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor menerusi satu Ops Khas Kenderaan Perdagangan menyita sebuah lori sampah di Plaza Tol Sungai Balak, semalam.
“Pemandu kenderaan perdagangan tersebut merupakan warga asing yang gagal mengemukakan dokumen pemanduan yang sah, selain kenderaan yang digunakan mempunyai kesalahan teknikal,” menurut kenyataan media JPJ.

Kenderaan perdagangan yang disita telah dibawa ke Stesen Penguatkuasa (SPK) Semenyih untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut penguatkuasaan perundangan.
JPJ Negeri Selangor menegaskan bahawa mereka sentiasa memberi perhatian dan akan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan awam bagi memastikan setiap kenderaan di jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan kesalahan lalu lintas boleh menyalurkannya kepada pihak JPJ melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau menggunakan platform aplikasi e-aduan, bersama butiran pengadu dan butiran aduan yang lengkap.































