Tiga maut dalam kemalangan melibatkan dua lori dan sebuah kereta

84

Tiga individu maut dalam kemalangan melibatkan dua lori dan sebuah kereta di Jalan Senai-Seelong, di Kulai petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian pada jam 4.15 petang berlaku apabila Perodua Bezza dipandu lelaki tempatan 68 tahun yang membawa tiga penumpang wanita berusia antara 65 hingga 87 tahun dilanggar dari belakang oleh sebuah lori dipandu lelaki tempatan 46 tahun.

“Pelanggaran menyebabkan dua kenderaan itu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah berlawanan dipandu lelaki tempatan 23 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pemandu lori 23 tahun maut di lokasi, manakala seorang lagi pemandu lori dan seorang penumpang Perodua Bezza disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini.

Pemandu dan dua lagi penumpang Bezza dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Ahmad Safuan Abu Naim menerusi talian 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here