
Geely Philippines mengesahkan rancangan membawa masuk sebuah sedan kompak baharu ke pasaran negara itu pada 2026 dan model berkenaan sebenarnya diasaskan daripada Proton Saga generasi terbaharu yang dilancarkan di Malaysia tahun ini.
Laporan tersebut disiarkan oleh media permotoran Autocar Filipina.
Bagaimanapun, sedan tersebut tidak akan dijual menggunakan jenama Proton, sebaliknya dipasarkan di bawah jenama Geely sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan produk jenama China itu di Filipina.
Platform AMA Pemanduan Kiri
Proton Saga baharu dibangunkan dari platform AMA yang direka untuk fleksibel dari segi konfigurasi, termasuk stereng kiri (LHD), menjadikannya sesuai untuk pasaran seperti Filipina.
Model ini dijangka memasuki pasaran sekitar suku keempat 2026 dan akan bersaing dalam segmen sedan kompak yang masih relevan di negara tersebut.
Saga Serba Baharu
Proton Saga generasi keempat telah dilancarkan secara rasmi pada November 2025, dengan harga bermula RM37,990 bagi varian Standard, diikuti Executive dan Premium.
Saga baharu ini menandakan perubahan besar buat model paling ikonik Proton, termasuk penggunaan platform AMA sepenuhnya serta peningkatan dari segi saiz, teknologi dan keselamatan.
Dari segi dimensi, Saga kini lebih panjang dengan ukuran 4,390 mm, manakala lebar kekal 1,690 mm dan jarak roda 2,465 mm, menawarkan ruang kabin yang lebih baik berbanding generasi terdahulu.
Enjin i-GT 1.5 Liter Gantikan 1.3 Campro
Tiada lagi enjin 1.3 liter. Saga baharu menggunakan enjin i-GT 1.5 liter yang menghasilkan 120ps dan 150Nm, lengkap dengan teknologi Dual Variable Valve Timing (DVVT) serta Toothed Timing Chain yang lebih senyap.
Untuk kecekapan bahan api, Proton menyatakan penggunaan serendah 4.9 liter/100 km bagi transmisi CVT dan 5.1 liter/100 km bagi 4AT, dengan peningkatan ketara berbanding model lama.
Kabin & Teknologi Lebih Moden
Di dalam, Saga menampilkan dua skrin bersepadu bersaiz 16-inci, merangkumi skrin maklumat hibur 9-inci dan kluster meter digital 7-inci dan boleh dihubungkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Reka bentuk luaran pula diperkemaskan dengan lampu projektor LED penuh, DRL LED, bar lampu belakang LED serta gril bermotifkan elemen songket dan Ethereal Bow.
Dilengkapi ADAS
Saga baharu turut menerima lonjakan besar dari sudut keselamatan, termasuk enam beg udara serta pakej ADAS, menjadikannya antara model paling lengkap dalam kelasnya.
Namun begitu, spesifikasi akhir bagi versi Filipina masih belum diumumkan dan tahap kelengkapan sebenar akan disahkan lebih hampir dengan tarikh pelancaran.
Strategi Proton–Geely Ke Pasaran Serantau
Kemasukan model berasaskan Proton Saga ke Filipina ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang Geely untuk memanfaatkan pembangunan bersama bersama Proton, khususnya melalui platform AMA.
Ia juga secara tidak langsung membuka laluan kepada kebangkitan semula model berasaskan Proton di pasaran antarabangsa, walaupun kali ini di bawah identiti Geely, bukan sebagai jenama nasional Malaysia.




































