
Di dalam dunia automotif hari ini dapat disaksikan pengeluar barangan elektrik dan elektronik turut menghasilkan kenderaan elektrik (EV).
Sebagai contoh Xiaomi, Huawei, Skyworth dan Sony.
Perkara sebegini bukan baharu dan banyak pengeluar ternama sekarang ini asalnya bukan syarikat kereta seperti Toyota, Mazda, Peugeot, Kia, Škoda dan sebagainya.
Terbaru Sharp mahu melangkah ke dunia EV melalui model konsep LDK+.
Lupakan tentang keseronokan pemanduan kerana Sharp memfokuskan kepada masa parkir kenderaan dan sambungan kepada ruang tamu kediaman dan jelas dinyatakan melalui tema Part of Your Home.
Model ini merupakan iterasi kedua konsep LDK+, selepas pendedahan pertama pada September 2024, dan dibangunkan berasaskan EV Model A oleh Hon Hai Technology Group (Foxconn).
Evolusi Konsep LDK+: Mobiliti Berteraskan Keselesaan
LDK+ dibangunkan sebagai visi mobiliti masa hadapan yang menghubungkan kenderaan elektrik, ruang kediaman dan pengurusan tenaga.
Ia memanfaatkan teknologi AI SHARP iaitu CE-LLM, digabungkan dengan AIoT (artificial intelligence dan Internet of Things) serta teknologi penderiaan bagi menyokong gaya hidup yang selesa dan mampan.
Model terbaharu ini mengekalkan asas konsep tersebut dan diperkemaskan dengan reka bentuk badan kompak yang menawarkan kebolehgerakan tinggi, serta dalaman luas dan santai untuk kegunaan ketika tidak bergerak.
Kabin Fleksibel: Dari Kenderaan ke Ruang Tamu Bergerak
Dibangunkan sebagai sebuah van mini kompak, LDK+ menampilkan susun atur kabin yang luas walaupun dimensi luaran yang kecil.
Fokus utamanya ialah transformasi fungsi kabin apabila kenderaan diparkir. Apabila tidak bergerak, kenderaan ini boleh digunakan sebagai:
- Ruang hiburan seperti bilik teater
- Ruang kerja jarak jauh
- Ruang sosial menyerupai ruang tamu
Sebuah kotak konsol yang dilengkapi meja dan projektor diletakkan di antara tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.
Tempat duduk pemandu boleh diputarkan menghadap ke belakang, mewujudkan suasana ruang tamu bersama tempat duduk barisan belakang.
Skrin yang dipasang di atas tempat duduk belakang boleh diturunkan untuk tontonan filem atau mesyuarat dalam talian pada paparan bersaiz besar.
Integrasi AIoT dan Pengurusan Tenaga Rumah
Melalui platform AIoT SHARP, LDK+ boleh dihubungkan dengan peralatan rumah seperti:
- Peralatan dapur
- Sistem penyaman udara
- Sistem dobi
AI mempelajari rutin harian pengguna dan menyesuaikan fungsi kenderaan mengikut keutamaan mereka.
Sistem ini juga menyokong sambungan V2H (Vehicle to Home), membolehkan integrasi dengan penjanaan tenaga solar dan bateri simpanan kediaman bagi pengurusan tenaga yang lebih cekap.
Di sebalik maklumat yang diberikan, Sharp tidak berkongsi butiran teknikal lain seperti bateri, kuasa dan jarak pemanduan.
Sesuatu yang menarik, terdapat laporan Sharp mahu menjualnya pada tahun 2027!
























