
Mitsubishi dilapor bakal melengkapkan lagi barisan model SUV sedia ada dengan sebuah model baharu, berkemungkinan besar Pajero/Montero generasi baharu.
Ini adalah berdasarkan kepada klip video pendek yang dipaparkan pada akhir video yang dimuat naik dalam saluran YouTube Mitsubishi Motors TV.
Klip video beberapa saat itu memperlihatkan siluet SUV berbentuk kotak, diikuti dengan rekaan lampu DRL yang menyamai model Destinator.
Bentuk tiang-C juga dilihat mirip dengan model spyshot yang telah dikesan baru-baru ini.
Mitsubishi sebelum ini telah mendaftarkan tanda dagang nama Montero di pejabat pendaftaran paten Amerika Syarikat pada tahun 2024.
Syarikat itu dijangka akan memanfaatkan kerjasama dengan Nissan untuk model Pajero/Montero ini, dengan binaan body-on-frame serta tetapan enjin bentangan V6 3.8 liter menghasilkan 310 hp.
Buat masa ini, Mitsubishi mempunyai model SUV seperti Xforce, Destinator, Eclipse dan Outlander – kesemuanya merupakan SUV unibodi.
Dengan adanya SUV besar Pajero/Montero ini, ia dapat bertindak sebagai sebuah model halo yang sangat diperlukan oleh jenama Mitsubishi dan mampu menarik kembali perhatian para peminatnya di luar sana.




























