
Anggota polis berpangkat konstabel yang dilaporkan menampar seorang penunggang motosikal dalam kejadian di sebuah stesen minyak dekat Taman Perling di Johor Bahru, kelmarin, sedang dalam penugasan operasi motosikal di kawasan sekitar.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata walaupun anggota itu sedang bercuti, namun berdasarkan rekod, dia dipanggil bertugas pada hari kejadian, untuk membantu operasi dijalankan bagi membanteras aktiviti mat rempit.
Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan, namun tindakan tampar itu dipercayai tindakan spontan selepas mangsa dikatakan cuba melarikan diri.
“Sebenarnya, satu operasi trafik sedang dijalankan iaitu Ops Motosikal oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.
“Ketika kejadian, anggota itu mahu menahan motosikal mangsa, tetapi mangsa cuba melarikan diri, mungkin ia tindakan sehingga berlaku kejadian itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Ab Rahaman berkata, laporan pertama dibuat pihak polis selepas tular video memaparkan kejadian tampar itu di media sosial, sebelum laporan polis diterima daripada mangsa sendiri pada malam hari kejadian.
“Kita akan melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kemudian akan merujuk kepada Bahagian Perundangan Bukit Aman sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.
Ab Rahaman berkata, empat individu sudah dipanggil memberi keterangan termasuk saksi dan anggota polis yang terbabit dengan insiden itu.
Katanya, beberapa saksi lagi akan dipanggil untuk merakam percakapan dan pada masa sama sedang mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lokasi kejadian.
Ditanya sama ada anggota polis itu digantung tugas, Ab Rahaman berkata, lelaki itu masih bekerja, namun tidak dibenarkan melakukan tugas operasi.
“Dia tidak digantung tugas dan tidak ditahan reman. Setakat ini, dia menjalankan tugas seperti biasa, kita tidak boleh menahan tugasnya kerana kita belum dapat arahan untuk mendakwanya di mahkamah.
“Kita ada proses dan peraturan untuk menahan tugas seseorang polis, biasanya apabila ada keterangan terbukti untuk pendakwaan di mahkamah.
“Bagaimanapun, anggota polis berusia 20-an yang mula bertugas dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2022 itu tidak menjalankan tugas operasi sehingga siasatan ini selesai,” katanya.




























