
Mazda secara rasmi memperkenalkan warna Navy Blue untuk model Mazda CX-5 serba baharu.
Navy Blue merupakan warna terbaharu dalam pilihan warna Mazda yang menawarkan gaya premium dan malar segar.
Warna ini dibangunkan melalui proses reka bentuk global Mazda bagi menambah lagi pilihan warna sedia ada untuk model SUV paling laris mereka ini.
Walaupun Mazda cukup sinonim dengan warna merah, warna biru sebenarnya sudah lama menjadi identiti penting dalam sejarah jenama ini.
Sejak berpuluh tahun lalu, warna biru telah digunakan pada model klasik seperti R360 Coupe sehingga ke model ikonik seperti Familia dan MX-5.
Berbekalkan warisan lebih 150 rona biru dalam sejarah Mazda, warna Navy Blue baharu ini dibina berasaskan legasi jenama tersebut sebagai rona yang direka agar tampak malar segar, beremosi, serta mempunyai daya tarikan di peringkat global.
Di Sebalik Pembangunan Warna Navy Blue
Warna ini dihasilkan menerusi kerjasama erat antara pasukan reka bentuk, pembangunan, dan kejuruteraan pengeluaran Mazda.
Bagi memastikan visi pereka dapat diterjemahkan dengan tepat pada badan kenderaan, mereka menggunakan kaedah digital dan model fizikal yang sangat canggih.
Menurut Jo Stenuit, Pengarah Reka Bentuk Mazda Eropah, Navy Blue dipilih kerana ia nampak serasi dengan permukaan reka bentuk Kodo.
Warna ini bukan sahaja menguatkan imej kenderaan, malah ia memberikan rasa yang premium dan sesuai untuk kegunaan harian.
Matlamat utama penghasilan warna ini adalah untuk mengatasi populariti warna Deep Crystal Blue sebelum ini.
Ia dicapai dengan mengimbangi penggunaan komponen mika, iaitu gabungan mika untuk kecerahan dan mika yang dioptimumkan untuk menonjolkan warna.
Hasilnya, cat ini mempunyai kontras yang sangat kuat.
Ia akan nampak terang dan menyerlah di bawah cahaya matahari, tetapi berubah menjadi gelap dan elegan apabila cuaca mendung atau pada waktu malam.
Evolusi Mazda CX-5 Dan Konsep Wearable Gear
CX-5 merupakan ayam tambatan Mazda dan model generasi ketiga tetap mengekalkan bentuk ikonik yang dikenali sejak tahun 2012, namun tampil dengan bahasa reka bentuk Kodo – Soul of Motion yang lebih matang.
Warna Navy Blue ini membantu menonjolkan setiap lekukan badan dan perkadaran saiz SUV ini dengan lebih jelas.
Rekaan CX-5 kali ini menggunakan konsep Wearable Gear.
Falsafahnya adalah supaya kenderaan ini sesuai dengan pelbagai gaya hidup pemilik, sama seperti pakaian yang cantik dan berfungsi.
Ia mengimbangi aspek gaya, keselesaan dan praktikaliti untuk pemanduan dalam bandar atau ketika melakukan aktiviti lasak.
Dari segi penampilan, SUV ini nampak lebih tegap dan stabil. Ini dicapai melalui penggunaan gerbang roda yang lebih sasa, bahagian depan yang lebih tinggi, serta jarak jejak roda yang lebih lebar.
Pada bahagian belakang pula, ia dilengkapi lampu LED linear baharu serta tulisan MAZDA yang lebih menonjol untuk imej yang lebih moden.
Ruang kabinnya pula menggunakan prinsip Ma dari Jepun bagi mewujudkan ruang yang ringkas, luas dan praktikal untuk kegunaan keluarga serta perjalanan jauh.






