
Pasukan Polis Marin (PPM) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membongkar kegiatan menyimpan bateri kereta dan sisa elektronik (e-waste) secara haram menerusi Op Hazard di Kota Kinabalu, semalam.
Serbuan di premis berbeza Penampang dan Sandakan itu dipercayai dijadikan pusat penyimpanan barang lusuh serta e-waste tanpa lesen sah.
“Hasil serbuan di kawasan Penampang, pihak PPM berjaya merampas kira-kira 8 tan bateri kereta yang disimpan secara tidak sah.

“Sementara itu, di Sandakan pelbagai barangan e-waste turut dirampas termasuk bateri kereta, peralatan komputer, mesin basuh dan lain-lain barangan elektrik,” menurut kenyataan.
Pemeriksaan lanjut juga mendapati kedua-dua premis gagal mengemukakan dokumen sah bagi aktiviti penyimpanan dan perniagaan barang lusuh serta sisa elektronik.
Hasil semakan LHDN mendapati terdapat premis yang tidak dapat mengemukakan dokumen percukaian yang lengkap.
“Kes telah diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk tindakan lanjut dan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Sisa Terjadual) 2005 serta Seksyen 77A(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 (LHDN).
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM720,998,” jelas kenyataan.






























