
Dongfeng Nissan secara rasmi melancarkan model terbaharu mereka iaitu NX8 pada 8 April 2026. SUV bersaiz sederhana ini merupakan kenderaan elektrik yang dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan pasaran di China.
Pelancaran ini menyusuli pengenalan sedan hibrid plug-in N6 dan sedan elektrik N7 menjadikannya model ketiga di bawah Siri N daripada Nissan.
NX8 dibina berasaskan konsep SUV ideal untuk setiap keluarga dengan menimpukan kepada tahap keselesaan tinggi serta teknologi canggih.
Sebagai tawaran standard untuk semua gred, Dongfeng Nissan melengkapkan kenderaan ini dengan 71 ciri kemudahan dan keselamatan.
SUV ini dipasarkan pada julat harga sekitar 159,900 hingga 209,900 yuan (RM93,110 hingga RM122,225).
Pilihan Rangkaian Kuasa EV atau REEV
NX8 ditawarkan dalam dua pilihan rangkaian kuasa utama bagi memenuhi permintaan pengguna yang berbeza iaitu elektrik bateri (BEV) dan elektrik penambah jarak (REEV).
Model elektrik terdiri daripada varian 580 Pro, 580 Max dan 650 Max. Varian tertinggi mampu mencapai jarak pemanduan sehingga 650 km mengikut mod CLTC.
Kelebihan utama model ini adalah penggunaan seni bina 800V dan keupayaan pengecasan ultra pantas 5C yang membolehkan pemandu menambah jarak pemanduan sebanyak 300 km dalam tempoh enam minit sahaja.
Bagi model range-extended electric vehicle atau REEV, tiga varian ditawarkan iaitu 150 Pro, 150 Max dan 310 Max.
Model REEV ini menawarkan jarak pemanduan mod elektrik sahaja sejauh 310 km dan jumlah jarak keseluruhan mencapai 1,450 km.
Tahap kecekapan bahan api ketika enjin petrol beroperasi adalah 4.51 liter bagi setiap 100 km atau kira-kira 22.17 km seliter.
Keselesaan Kabin dan Ruang Kargo
Rekaan dalaman NX8 menggunakan falsafah setiap kerusi adalah tempat duduk utama bagi memastikan keselesaan menyeluruh untuk semua penumpang.
Ruang kargo belakang adalah seluas 773 liter yang mampu memuatkan sehingga 35 beg pakaian.
Antara ciri unik yang ialah peti sejuk dua sisi yang boleh dilaraskan suhunya dari -6°C sehingga 55°C.
Ruang kabin belakang menawarkan jarak ruang kepala setinggi 1,285 mm yang merupakan terbaik dalam kelasnya sekaligus memudahkan urusan keluarga seperti menukar pakaian kanak-kanak.
Selain itu terdapat fungsi Pet Protection Mode untuk memantau suhu kabin dan mengelakkan operasi tidak sengaja sekiranya haiwan peliharaan ditinggalkan di dalam kenderaan.
Teknologi Pintar dan Maklumat Hibur
Bahagian papan pemuka dilengkapi dengan dua skrin besar bersaiz 15.6 inci yang menggunakan sistem operasi terkini Nissan OS 2.0.
Sistem ini dikuasakan oleh chipset Qualcomm Snapdragon 8295P dengan kapasiti storan 256 GB.
Pemandu juga dibantu dengan paparan realiti terimbuh (AR-HUD) yang memberikan visual setara dengan skrin 63 inci.
Terdapat juga fungsi bantuan parkir automatik untuk memudahkan urusan parkir selari dan pergerakan di kawasan sempit.
Sistem pembantu suara AI turut disertakan untuk memudahkan kawalan pelbagai fungsi kenderaan.
Ciri Keselamatan dan Struktur Badan
Keselamatan menjadi fokus utama pembangunan NX8 dengan penggunaan bateri Cloud Shield 2.0 yang menggunakan sel daripada CATL.
Bateri ini telah melepasi 146 kriteria ujian keselamatan dan dipantau secara berterusan melalui sistem awan selama 24 jam.
Bagi struktur badan, SUV ini menggunakan binaan hibrid keluli-aluminium dengan penggunaan keluli kekuatan ultra tinggi gred 2,000 MPa untuk prestasi pelanggaran yang lebih baik.
Sistem bantuan pemandu yang dibangunkan bersama Momenta membantu mengurangkan beban kerja pemandu ketika perjalanan jarak jauh.
Di bahagian luar, lampu gabungan belakang menggunakan jumlah unit pencahayaan OLED tertinggi di dunia untuk meningkatkan tahap penglihatan.
Kredit Gambar: Nissan





























