
Proton Cars mengumumkan pengenalan model Proton X70 Sport Edition dengan gaya lebih sporty dan eksklusif.
Model ini mula dipamerkan di bilik pameran terpilih hujung minggu ini dengan perincian penuh termasuk harga akan diumumkan pada 16 April 2026.
Beberapa foto memaparkan unit pameran Proton X70 2026 (MC3) Sport Edition juga dimuat naik ke laman group X70OCM – Proton X70 Owner Club Malaysia.

Terhad kepada 600 unit varian Premium dalam warna Quartz Black, edisi ini menampilkan kit badan khas, rim aloi hitam 19 inci serta kemasan dalaman dengan jahitan merah dan lencana Sport Edition untuk identiti dinamik.
Menerusi legasi X70 sebagai model penting dalam transformasi Proton, edisi ini menawarkan pilihan bergaya kepada pelanggan yang mengutamakan reka bentuk sporty disertai keselesaan dan teknologi.
Model edisi terhad diramal masih mengekalkan enjin i-GT 1.5TD (BHE15MP) empat silinder yang menawarkan kuasa sebanyak 133 kW dan 290 Nm daya kilas.
Enjin dipadankan dengan transmisi DwiCekam 7-kelajuan (7-DCT) ini memberikan peningkatan output kuasa sebanyak 2.3 peratus dan 13.7 peratus lebih daya kilas berbanding model MC2.

Dari segi penjimatan bahan api, ia mencatatkan penggunaan 6.9L/100km, iaitu penjimatan sebanyak 5.8 peratus berbanding model sebelumnya (7.3L/100km).
Selain enjin, Proton turut memperhalusi tahap bunyi, getaran dan kekasaran (NVH) untuk X70 2026 (MC3).
Penggunaan rantai pemasa jenis bergigi menjimatkan kos penyelenggaraan dan 25.24 peratus lebih senyap.































