
Suzuki Malaysia Sdn Bhd secara rasmi melancarkan motosikal dwi-sukan legenda dalam siri DR-Z menerusi model DR-Z4S dan DR-Z4SM, hari ini.
Sedikit info, DR-Z4S adalah model versi enduro manakala DR-Z4SM pula dalam kategori supermoto.

Motosikal ini direka khusus untuk mereka yang mahukan sebuah jentera bagi kegunaan jalan raya setiap hari, dalam masa sama boleh meneroka laluan off-road.
Berbanding generasi terdahulu, DR-Z4S dan DR-Z4SM tampil dengan segala ciri dan kelengkapan baharu.

Kedua-dua model ini dibekalkan dengan enjin serba baharu merangkumi platform satu silinder 398cc 4-lejang DOHC dengan suntikan bahan api yang berupaya menjana 38hp dan 37Nm.
Lebih penting, enjin baharu ini mencapai emisi Euro 5+.

Meskipun bernadikan enjin baharu, legasi DRZ 400 diteruskan dengan penggunaan transmisi manual 5-kelajuan dibantu klac ‘assist & slipper’ atau dikenali sebagai Suzuki Clutch Assist System (SCAS).
Suzuki melengkapkan DR-Z4S ini dengan pakej elektronik terkini dengan fungsi seperti ‘ride-by-wire’ yang menawarkan ciri seperti tiga mod menunggang; A, B dan C serta sistem ‘traction control’ yang menawarkan tiga tetapan; 1,2 dan Gravel.

ABS dwi-saluran juga didatangkan secara standard dan boleh ditutup untuk roda belakang sahaja atau ditutup terus (depan dan belakang).
Perincian lain ditawarkan termasuk panel meter digital LCD ringkas.

Dalam pada itu, perbezaan utama antara DR-Z4S dan DR-Z4SM adalah pada bahagian tayar dengan varian enduro mendapat rim 21-inci depan dan 18-inci belakang manakala varian supermoto dibekalkan unit 17-inci depan dan belakang.
Kedua-dua varian menawarkan rim jenis spoked (lidi).

Pakej suspensi terdiri dari fork USD dari KYB dan monoshock di belakang dengan pelarasan ‘compression’ dan ‘rebound’.

Jarak gerak DR-Z4S lebih panjang dengan 280mm depan dan 296mm belakang sementara DR-Z4SM menawarkan 260mm depan dan 277mm belakang.
Warna ditawarkan bagi model DR-Z4S adalah Champion Yellow dan Solid Iron Gray, untuk DR-Z4SM pula Sky Gray dan Solid Special White.

Antara perincian lain ditawarkan termasuk:
- tangki bahan api berkapasiti 8.7L
- berat 151kg (DR-Z4S), 154kg (DR-Z4SM)
- lampu nyalaan LED
Model ini sudah boleh ditempah di rangkaian pengedar sah Suzuki Big Bike World dan Suzuki Station Plus seluruh negara.

Harga bagi DR-Z4S dan DR-Z4SM ditetapkan RM39,888 (untuk 50 unit tempahan pertama- tidak termasuk cukai jalan dan insurans) dan selepas itu kedua-dua model berkenaan ditawarkan kepada peminat dengan harga RM43,988.
Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web http://www.suzuki.com.my
































