
Sebuah BMW 7 Series yang dipandu seorang lelaki pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) antara 145 kenderaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menerusi Ops Luxury yang dilaksanakan sejak awal tahun ini.
Difahamkan, kenderaan yang dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an itu disita selepas cukai jalan didapati telah tamat tempoh.
Ketika ditahan minggu lalu, kenderaan berkenaan dihiasi dengan reben sebagai persiapan untuk digunakan dalam majlis perkahwinan.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sidhu berkata secara keseluruhan sebanyak 870 buah kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi yang bermula Januari lalu.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 145 kenderaan disita termasuk pelbagai model kenderaan mewah seperti BMW, Mercedes-Benz, Toyota Alphard, Lexus dan limosin.
“Sepanjang operasi berkenaan, sebanyak tujuh kenderaan mewah disita membabitkan bukan warganegara, terutamanya dari China, Pakistan dan Bangladesh, termasuk seorang pemegang kad UNHCR.
“Operasi ini memberi tumpuan khusus terhadap pematuhan Lesen Kenderaan Motor (LKM), perlindungan insurans dan lesen memandu yang tidak sah atau tamat tempoh, selain pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan JPJ serta pelanggaran lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, setiap kesalahan yang dikesan akan dikenakan tindakan tanpa sebarang kompromi, termasuk sitaan kenderaan dan pendakwaan di mahkamah.
“Saya ingin mengingatkan semua pemilik kenderaan mewah dan penggiat automotif bahawa nilai atau status sesebuah kenderaan tidak memberikan sebarang kekebalan daripada tindakan undang-undang.
“Kita akan meningkatkan kekerapan dan intensiti operasi penguatkuasaan, khususnya yang melibatkan kenderaan mewah, termasuk melalui rondaan, sekatan jalan raya dan pemeriksaan teknikal bagi memastikan tahap pematuhan terhadap undang-undang jalan raya sentiasa berada pada tahap tertinggi,” katanya.


































