
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjalankan penilaian terhadap sistem peluru berpandu antikapal bagi menggantikan Naval Strike Missile (NSM) dari Norway untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Panglima Tentera Laut Laksamana, Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain berkata penilaian tertumpu pada aspek keupayaan dan keserasian integrasi dengan sistem tempur kapal berkenaan yang melibatkan empat pilihan sistem peluru berpandu dari negara yang telah dikenal pasti.
Beliau berkata keutamaan TLDM ialah memastikan LCS dapat diserahkan dan mula beroperasi, manakala keputusan bagi melengkapkannya dengan jenis sistem peluru berpandu yang akan digunakan tertakluk pada proses perolehan yang sedang berjalan.
“Ujian penerimaan di laut LCS bagi semua sistem kini dijalankan secara intensif, namun ujian sistem peluru berpandu tidak dapat dilaksanakan kerana peluru berpandu itu masih belum tersedia,” katanya selepas sambutan Hari Ulang Tahun Ke-53 Kumpulan Pertama Kapal Kelas Perdana Combatante.
Zulhelmy berkata tanpa pelancar misil, kapal berkenaan masih mampu melaksanakan pelbagai peranan lain ketika proses perolehan dan integrasi sistem itu sedang diteruskan.
“Kapal ini masih boleh melaksanakan banyak lagi peranan lain, contohnya menjalankan operasi helikopter dan latihan peperangan antikapal selam kerana keupayaan itu sudah tersedia,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan Norway dilaporkan membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia atas alasan melindungi kepentingan keselamatan negara berkenaan.
Susulan itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) menghantar notis tuntutan bernilai kira-kira RM1 bilion kepada syarikat pertahanan terbabit berikutan pembatalan kontrak perolehan NSM.
MINDEF turut mengenal pasti empat negara yang berpotensi membekalkan sistem peluru berpandu antikapal bagi projek LCS susulan pembatalan itu.































