
Jenama pakaian dan kelengkapan motosikal LS2 Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila merekodkan pertumbuhan jualan sebanyak 58 peratus bagi tempoh Julai 2025 hingga Jun 2026.
Ia adalah pencapaian terbaik sejak jenama itu beroperasi di pasaran tempatan.

Pencapaian memberangsangkan itu mencerminkan penerimaan semakin kukuh terhadap produk LS2 dalam kalangan penunggang motosikal di Malaysia.
LS2 Malaysia menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil kepercayaan berterusan daripada pelanggan, rangkaian pengedar dan rakan niaga yang terus menyokong perkembangan jenama ini di seluruh negara.

Momentum positif itu turut diserlahkan menerusi penganjuran LS2 Asia and Oceania International Convention 2026 di Four Points by Sheraton Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pada acara berkenaan, LS2 Global memperkenalkan barisan produk terbaharu untuk penggal kedua 2026, selain mempamerkan koleksi lengkap 2027 yang merangkumi siri musim panas dan musim sejuk.
LS2 Global pada Julai lalu, turut mengetengahkan beberapa model baharu yang dijangka dibawa masuk ke pasaran Malaysia.
Bagaimanapun, harga rasmi masih belum diumumkan memandangkan semua produk berkenaan masih di peringkat pengenalan global.

Menurut LS2 Malaysia, koleksi baharu itu dijadualkan mula memasuki pasaran tempatan secara berperingkat mulai September 2026.
Maklumat lanjut berkenaan harga, spesifikasi penuh dan tarikh pelancaran akan diumumkan dari semasa ke semasa mengikut jadual ketibaan stok.

Langkah memperkenalkan barisan produk baharu ini dijangka dapat mengukuhkan lagi kedudukan LS2 dalam segmen kelengkapan keselamatan motosikal, selain menawarkan lebih banyak pilihan helmet dan aksesori kepada pengguna tempatan.
Dengan pencapaian rekod ini, LS2 Malaysia bertekad untuk terus memperkukuh jenama melalui tawaran produk berkualiti tinggi, inovasi terkini dan perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik bagi memenuhi keperluan penunggang motosikal di Malaysia.

