
Syarikat e-mobiliti dari Finland, Augment memperkenalkan model e-moped baharu 360 yang direka untuk menyelesaikan masalah perbatuan terakhir.
360 menggunakan kerangka aluminium dengan berat sekitar 36 kg dan turut mempunyai penarafan kalis air IPX4.
Apabila tayar belakang dilipat ke bawah rangka, ukuran dimensi 360 menjadi lebih kompak (1,265 x 350 x 1,180 mm).
Bermakna e-moped ini boleh dilipat dan diangkat masuk ke dalam lif tanpa perlu diletakkan di luar.
Augment 360 digerakkan oleh motor elektrik 1.6 hp (kuasa puncak 2.87 hp) dan tork 105 Nm, boleh mencapai kelajuan sehingga 45 km/j.
Bateri pula terletak di bawah pelana dan boleh ditarik keluar.
Sekali cas penuh, ia boleh bergerak sejauh 50 km, atau sehingga 140 km menggunakan tetapan dua pek bateri.
Pengecasan penuh menggunakan soket dinding konvensiolal memakan masa kira-kira 4.5 jam.
Augment 360 juga boleh dihubungkan kepada peranti pintar menerusi aplikasi mudah alih, di mana anda boleh menetapkan mod tunggangan.
Ia juga boleh dinyahkunci dengan menggunakan kad NFC, serta mempunyai mod anti-pencuri yang akan mengunci tayar belakang.
Sayang sekali, rekaannya yang agak minimalis itu membuatkannya tidak mempunyai ruang storan yang praktikal.
Harga jualan pula bermula dari €1,890 (RM8,931).































