
Analogue Automotive ialah syarikat automotif dari United Kingdom yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam perlumbaan, pemulihan dan penyelenggaraan Lotus Elise Series 1 (S1).
Berbekalkan pengalaman tersebut, Analogue Automotive memperkenalkan VHPK, sebuah versi terhad yang dibina semula berasaskan Elise S1 dengan pendekatan yang jauh lebih ekstrem.
Model ini menampilkan kedudukan pemanduan di bahagian tengah, badan gentian karbon ultra-ringan dan enjin K-Series yang dinaik taraf kepada 250bhp.
VHPK pertama untuk pelanggan kini telah siap sepenuhnya.
Unit tanpa produksi kedua ini ditampilkan dalam warna khas PK Purple, lengkap dengan kemasan dalaman Alcantara sepadan serta muncung ekzos berwarna emas.
Kerusi tunggal di tengah
Seperkera menarik tentang VHPK ialah kerusi bucket gentian karbon yang dipasang pada bahagian tengah
Idea tersebut diilhamkan daripada Elise satu tempat duduk yang pernah bersaing dalam Autobytel Lotus Championship sekitar awal 2000-an.
Kejuaraan satu model itu dianjurkan oleh Lotus Motorsport dan turut menjadi acara sokongan kepada British Touring Car Championship.
Selain kerusi, bahagian dalaman turut menggunakan panel papan pemuka dan kemasan pintu daripada gentian karbon.
Berat kurang 600kg
Antara fokus utama Analogue Automotive adalah mengurangkan berat Elise S1 sebanyak mungkin.
VHPK mempunyai berat basah di bawah 600kg, digandingkan dengan enjin 1.9 liter berkuasa 250bhp.
Dengan gabungan tersebut, nisbah kuasa kepada berat mencecah 400bhp bagi setiap tan.
Angka ini menjadikan prestasi VHPK berada pada tahap yang lebih hampir dengan kereta super berbanding sebuah kereta sport ringan.
Badan VHPK pula menggunakan panel gentian karbon ultra-ringan, termasuk bahagian bonet hadapan, penutup enjin, pintu serta clamshell depan dan belakang.
Analogue Automotive menghasilkan acuan berketepatan tinggi menggunakan mesin CNC untuk membentuk panel gentian karbon, bukannya menggunakan proses splash-mould yang lebih murah.
Teknik tersebut digunakan bagi mendapatkan kemasan lebih baik, meningkatkan kekuatan serta mengurangkan berat perkakasan.
Suspensi lebar dan komponen ringan
Bagi memastikan pengendalian VHPK sepadan dengan prestasi enjinnya, Analogue Automotive memasang sistem suspensi wide-track khusus.
Sistem ini diambil daripada Analogue SuperSport yang pernah menduduki tempat kedua dalam senarai kereta pemandu terbaik Autocar pada 2024.
Suspensi tersebut menggunakan upright aluminium ringan yang dihasilkan secara CNC, lengan stereng aluminium serta penyerap hentak pasif boleh dilaras pelbagai tahap.
Pelanggan turut boleh memilih sistem suspensi aktif sepenuhnya sebagai pilihan.
Pengurangan berat turut diberikan perhatian pada bahagian unsprung mass.
VHPK menggunakan roda tempa ultra-ringan, brek karbon-seramik dan hab ultra-ringan.
Pakej roda gentian karbon penuh pula mampu mengurangkan berat sebanyak 12kg lagi.
Enjin K-Series 1.9 liter dengan 250bhp
Nama VHPK diambil daripada enjin K-Series berprestasi tinggi VHPD 190bhp yang pernah digunakan pada Elise Sport 190, Elise Series 1 Exige dan 340R.
Namun, enjin dalam VHPK telah dibangunkan jauh lebih ekstrem menggunakan pengalaman Analogue Automotive sepanjang 25 tahun.
Kapasiti enjin ditingkatkan daripada 1.8 liter kepada 1.9 liter, manakala kuasa meningkat lebih daripada 30 peratus berbanding unit VHPD asal.
Perkakasan dalaman enjin menggunakan bahagian billet dan tempa yang ditempah khas.
Ia bukan sahaja membantu mengurangkan berat, malah meningkatkan ketahanan enjin.
Menariknya, Analogue Automotive tidak menggunakan pertukaran enjin secara menyeluruh atau sistem pengecasan paksa.
Ini membolehkan karakter dan rasa asal enjin K-Series dikekalkan.
Kuasa dihantar melalui kotak gear Quaife PG1 lima kelajuan nisbah rapat bersama sistem pembeza gelinciran terhad (LSD).
Brek dan sistem elektrik
VHPK dilengkapi cakera brek karbon-seramik 300mm yang dibangunkan khas oleh Analogue Automotive, dipadankan dengan pad seramik Pagid serta angkup hadapan empat omboh.
Sistem elektronik menggunakan ECU/PCM Motec dan pendawaian Mil Spec.
Sistem ekzos pula menggunakan unit keluli tahan karat ringan dengan sports catalyst 200-sel.
Tangki bahan api aluminium ringan mempunyai kapasiti 48 liter.
Hanya 35 unit dihasilkan
Analogue Automotive mengehadkan pengeluaran VHPK kepada hanya 35 unit di seluruh dunia dan setiap unit akan diberikan nombor tersendiri.
Harga bermula pada £350,000 (sekitarRM1,915,137) sebelum cukai.
Harga tersebut turut merangkumi sebuah Lotus Elise Series 1 yang akan digunakan sebagai kereta penderma.
Pelanggan juga boleh memilih beberapa pilihan tambahan seperti kemasan dalaman Alcantara penuh, sistem pendingin hawa elektrik dan badan gentian karbon terdedah.
Turut ditawarkan sistem rakaman data Motec, suspensi aktif serta bumbung keras gentian karbon.
Dengan berat di bawah 600kg dan kuasa 250bhp, VHPK ialah interpretasi ekstrem Analogue Automotive bagi Elise S1.
Unik dengan kerusi di tengah, VHPK mengekalkan enjin K-Series dan casis Type 111 berserta lonjakan prestasi dan teknologi pada tahap baharu.
Spesifikasi utama VHPK
- Enjin: 1.9 liter TwinCam 16 injap Analogue K-Series
- Kuasa: 250bhp
- Nisbah kuasa kepada berat: 400bhp/tan
- Transmisi: Quaife PG1 lima kelajuan nisbah rapat, LSD
- Casis: Lotus Elise Series 1 yang dipulihkan dan diringankan
- Badan: Gentian karbon ultra-ringan gred F1
- Tempat duduk: Satu, di posisi tengah
- Suspensi: Wide-track T45 dengan komponen aluminium CNC
- Penyerap hentak: AA-spec pasif pelbagai pelarasan
- Brek: Cakera karbon-seramik 300mm
- Angkup: Empat omboh di hadapan
- Roda: Roda tempa ultra-ringan
- Tangki bahan api: Aluminium 48 liter
- Berat basah: kurang 600kg





































