Nissan Infiniti lantik Ketua Reka Bentuk baharu

942

Jenama premium Nissan Motor Co, Infiniti mengatakan ia telah melantik Taisuke Nakamura sebagai Ketua Reka Bentuknya yang baharu, menggantikan Karim Habib yang meletak jawatan.

Pereka Kanada, Habib, yang hanya menghabiskan masa selama dua tahun dalam peranannya, adalah Eksekutif Kanan bukan-Jepun yang terbaharu meninggalkan Nissan berikutan pengusiran Pengerusinya yang sangat berkuasa, Carlos Ghosn.



Nakamura diambil secara dalaman dari Nissan yang berpangkalan di Yokohama, yang mana beliau menyertainya pada tahun 1993. Beliau ketika ini adalah Pengarah Reka Bentuk Program untuk Infiniti dan telah menyumbang kepada reka bentuk jenama sejak 2018.

Pelantikannya berkuat kuasa 1 September, menurut kenyataan Infiniti yang dilihat oleh Reuters. Nakamura dijangka melapor kepada Ketua Reka Bentuk Global Nissan, Alfonso Albaisa.

Adalah tidak jelas mengapa Habib meletak jawatan. Beliau bermula sebagai Ketua Reka Bentuk Global Infiniti pada bulan Julai 2017, menyertai Nissan dari BMW yang mana beliau adalah Ketua Reka Bentuk Global.

Selain Habib, Eksekutif Nissan bukan Jepun seperti Daniele Schillaci, Jose Munoz dan Trevor Mann telah meninggalkan pembuat kereta Jepun itu sebelum ini.

Ghosn, yang menghadapi tuduhan penipuan dan salah laku, sedang menunggu perbicaraan di Jepun atas dakwaan termasuk memperkayakan dirinya dengan kos sebanyak AS$5 juta (RM21.02 juta) kepada Nissan, pengeluar nombor dua Jepun.

Ghosn telah menafikan melakukan sebarang kesalahan, mengatakan bahawa beliau adalah mangsa rampasan kuasa Lembaga Pengarah. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here