SIC fokus kepada GP San Marino 2019

1011

Petronas Yamaha Sepang Racing Team kini memberi fokus kepada Grand Prix GP San Marino 2019 selepas pelumba pasukan itu menunjukkan kemajuan dan kerja berpasukan yang hebat di litar Silverstone di United Kingdom pada Ahad.

Terdahulu, Franco Morbidelli mencatatkan keputusan terbaiknya dalam MotoGP musim ini selepas menamatkan perlumbaan di tempat kelima dalam GP British.



Ketua pasukan Datuk Razlan Razali berkata mereka gembira dengan keputusan Morbidelli mengharapkan persembahan pelumba dari Itali itu yang lebih baik pada perlumbaan seterusnya.

“Kami menunjukkan prestasi dan kerja berpasukan yang hebat di Silverstone. Di MotoGP, kami sangat gembira dengan Franco yang meraih keputusan terbaik dalam MotoGP setakat ini dan kami tahu ada lagi persembahan lebih baik daripada beliau. Ia adalah satu kemalangan yang tidak diingini buat Fabio Quartararo yang menunjukkan prestasi hebat sepanjang minggu.

“Di Moto3, Ayumu Sasaki dan John McPhee berlumba dengan baik dan mereka dalam persaingan untuk kedudukan podium yang selesa (masing-masing di tempat keenam dan ketujuh). Di Moto2, kami ingin berterima kasih kepada Bradley Smith atas usahanya yang muncul kembali dalam kategori ini setelah sekian lama. Fokus kami sekarang adalah di Misano,” katanya dalam kenyataan.

Kejohanan MotoGP 2019 seterusnya akan berlangsung di Litar Dunia Misano Marco Simoncelli pada 13 September depan dengan hari perlumbaan di Grand Prix San Marino pada Ahad, 15 September.

Sementara itu, Morbidelli mengakui berjaya berada di tempat kelima adalah keputusan yang baik buatnya dan kru.

“Ia adalah satu perkara yang baik untuk memulakan perlumbaan seterusnya dan saya rasa kita perlu fokus kepada GP San Marino 2019 dan boleh menggunakan apa yang dipelajari hujung minggu ini untuk memperbaiki lagi (corak perlumbaan),” katanya

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here