5 perkara pengangkutan anda perlu tahu mengenai Belanjawan 2020

2814

Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyentuh beberapa aspek berkaitan pengangkutan.

Belanjawan 2020 di bawah Strategi 10: Meningkatkan Ekosistem Pengangkutan, Kerajaan komited untuk meningkatkan mobiliti rakyat dengan mengurangkan kos serta menambah baik infrastruktur pengangkutan.

Antara aspek belanjawan 2020 yang berkaitan dengan pengangkutan :



500 bas elektrik dengan kos RM450 juta

Bagi membuktikan komitmen Kerajaan untuk menambah baik pengangkutan awam serta mewujudkan bandar bersih dan hijau, Kerajaan berhasrat menyediakan sehingga 500 bas elektrik pelbagai saiz dengan kos RM450 juta untuk pengangkutan awam di bandar-bandar terpilih seluruh negara.

 

Untuk kemudahan penduduk luar bandar pula, Kerajaan akan terus menyokong sambungan last-mile di kawasan luar bandar dan bandar dengan memberi subsidi kepada pengusaha bas dengan peruntukan sebanyak RM146 juta pada tahun 2020.

1) Diskaun purata 18% untuk semua tol PLUS mulai 2020

Langkah itu bertujuan untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat. Justeru, Jemaah Menteri sedang menimbangkan kesemua cadangan, termasuk daripada Khazanah Nasional Berhad untuk mengambil alih atau melupuskan semua saham PLUS Malaysia Berhad.

Rakyat dijangka boleh menikmati diskaun sebanyak 18 peratus secara purata di semua lebuh raya milik PLUS. Biarpun begitu, cadangan yang diterima hendaklah memberi impak positif fiskal dan tidak meningkatkan beban hutang dan bayaran khidmat hutang Kerajaan.

Diskaun tol sebanyak 18 peratus ini akan memberikan penjimatan kepada pengguna lebuh raya tersebut sehingga RM1,130 juta pada tahun 2020 dan RM43 bilion sepanjang baki tempoh konsesi sehingga 2038.

2) 4 lebuhraya diambil-alih, caj kesesakan waktu puncak diperkenal

4 lebuh raya yang telah diambil alih iaitu:

  • Lembah Klang iaitu Lebuh Raya Shah Alam (KESAS)
  • Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP)
  • Lebuh Raya Sprint (SPRINT)
  • Terowong SMART (SMART)

Pengenalan caj kesesakan di mana caj kesesakan pada waktu sekitar puncak dan waktu biasa diturunkan sehingga 30 peratus berbanding dengan kadar tol semasa serta percuma semasa waktu bukan puncak.

Langkah itu akan menjimatkan pengguna lebuh raya sehingga RM180 juta setahun, atau RM2 bilion sehingga akhir hayat konsesi. Konsesi sedia ada tidak akan dilanjutkan dan akan tamat mengikut perjanjian konsesi sedia ada.

3) Projek RTS diteruskan, 50 kaunter CIQ akan dibuka

Bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor dan Linkedua, Kerajaan akan melabur sebanyak RM85 juta bermula tahun 2020 untuk melancarkan aliran trafik kenderaan khususnya yang melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Melalui peruntukan tersebut, 50 kaunter tambahan akan dibuka untuk penunggang motosikal serta kaunter imigresen dan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) juga akan ditambah baik.

Sebagai sebahagian daripada langkah jangka panjang untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas, Kerajaan berhasrat untuk meneruskan projek Sistem Rapid Transit (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura.

4) Tol Jambatan Kedua Pulau Pinang dikurangkan kepada RM7

Semasa Belanjawan 2019, Kerajaan telah menghapuskan tol motosikal di Jambatan Pertama dan Kedua Pulau Pinang.

Kini, mulai 1 Januari 2020, kadar tol untuk kategori kereta persendirian di Jambatan Kedua Pulau Pinang akan dikurangkan daripada RM8.50 kepada RM7.00. Ia bagi bagi menyeragamkan kadar tol di antara Jambatan Pertama dan Kedua di sana.

5) Kad95 untuk bukan penerima BSH, subsidi petrol 30 sen seliter

Setiap rakyat yang memiliki tidak melebihi 2 kereta dan 2 motosikal yang layak, berhak menerima PSP untuk satu kenderaan sahaja.

Kenderaan yang layak untuk subsidi ini adalah seperti berikut:

  • Kereta dengan kapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah; atau
  • Kereta dengan kapasiti enjin melebihi 1600cc yang berusia lebih 10 tahun; atau
  • Motosikal dengan kapasiti enjin sehingga 150cc dan ke bawah; atau
  • Motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 150cc yang berusia lebih 7 tahun.

Kenderaan mewah tidak layak menikmati subsidi bersasar ini. Bermula Januari 2020, PSP akan dilancarkan di Semenanjung Malaysia dengan dua kategori kelayakan seperti berikut:

Pertama: Bagi penerima BSH (B40) yang layak, subsidi petrol yang diberikan untuk setiap penerima adalah sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal.

Subsidi ini akan diberi dalam bentuk pemindahan tunai dan akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan. Pembayaran pertama akan dibuat pada April 2020 bagi tempoh Januari hingga April 2020.

Kedua: Bagi semua pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH, mereka akan menerima Kad95 yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen per liter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal. Kad95 akan dilaksanakan secara berperingkat pada suku pertama 2020.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here