KBS suntik dana bantu ringankan beban Hafizh Syahrin

2333

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia menyuntik dana buat pelumba sensasi negara, sekali gus ringankan beban Hafizh Syahrin Abdullah untuk menghadapi kempen Moto2 musim depan.

Ia rentetan daripada pendedahan dibuat pelumba itu yang mengakui tidak akan menerima gaji pada musim depan selepas memilih untuk kembali ke Moto2 bersama pasukan Angel Nieto.



Keadaan bakal dihadapinya itu mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengesahkan kementeriannya akan meluluskan peruntukan untuk ringankan beban Hafizh Syahrin dalam masa terdekat.

“Dalam kes Hafizh Syahrin khususnya, saya sudah berurusan dengan Datuk Razlan supaya Hafizh dapat terus berlumba dalam Moto2. Walaupun Petronas terus dengan keputusan untuk tidak menaja Hafizh, tetapi melalui Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kita akan sampaikan bantuan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

“Dan pada masa sama bukan saja SIC yang juga agensi bawah KBS terus membantu Hafizh, tetapi KBS sendiri juga akan membantunya,” kata Syed Saddiq.

Beliau berkata demikian selepas ditanya pemberita berhubung Pasca Belanjawan 2020 yang terus mengutamakan sukan elektronik ketika masa depan Hafizh dibiarkan terumbang-ambing.

Jelasnya, pihaknya sudah menerima permohonan membabitkan dana diperlukan Hafizh dan tidak ada masalah untuk meluluskannya.

“Permohonan sudah dibuat dan saya akan luluskan. Industri permotoran tidak akan kita lupakan sebab itu kalau lihat peruntukan bagi SIC sahaja, jumlahnya puluhan juta jauh lebih tinggi,” tegasnya.

Sebagai rekod, Hafizh baharu berada dalam musim kedua di MotoGP namun dilihat bergelut sepanjang musim ini selepas bertukar ke pasukan Redbull KTM Tech3.

Kariernya dalam kelas utama bermula pada 2018 selepas disambar Yamaha Tech3 Racing yang tertarik dengan kualiti dimilikinya sewaktu beraksi dalam kelas Moto2 .

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here