Perodua terus hasilkan alat ganti Kancil, Kelisa, Viva dan Myvi generasi pertama

266

Sejak 1994, Perodua telah menjual lebih 3.7 juta kenderaan di Malaysia. Kini, Perodua terus hasilkan alat ganti untuk model-model terdahulu.

Untuk itu, Perodua terus hasilkan alat ganti di premis pembekalnya IQM Sdn Bhd. Mereka telah melancarkan sebuah mesin press stamping baharu di Rawang.

Mesin tersebut menelan belanja RM7 juta, termasuk pengangkutan dan pemasangannya di IQM. Mesin stamping hidraulik 1,600-tan metrik itu akan menghasilkan komponen badan kenderaan seperti penutup enjin, panel luar sisi, panel suku belakang, fender, pintu dan bumbung untuk model Perodua terdahulu seperti Myvi generasi pertama, Viva, Kelisa dan juga Kancil.

Perodua juga telah memindahkan semua acuan stamping (dies) yang diperlukan untuk menghasilkan alat ganti model terdahulu ke IQM.

Ini membebaskan ruang di dalam kilang Perodua, meringkaskan proses keseluruhan, menjimatkan kos dan masa, serta memudahkan pemantauan dan pengurusan di bawah satu bumbung.

IQM menjadi pembekal Perodua sejak 2002. Ia kini membekalkan komponen stamping logam, pemasangan badan dan tiub brek kepada Perodua.

IQM mula menghasilkan alat ganti Viva apabila pengeluaran model tersebut berakhir pada 2014, dan pada tahun lepas ia mula menghasilkan alat ganti Myvi generasi kedua di barisan pengeluaran khas yang baharu.

Komen anda mungkin membantu