Payments Network Malaysia dan Grab umumkan kerjasama

1196

Payments Network Malaysia dan Grab umumkan kerjasama penting untuk menjadikan GrabPay sebagai e-dompet pertama yang mengguna pakai DuitNow QR, standard nasional QR di Malaysia.

DuitNow QR diwujudkan di bawah Rangka Kerja Pemindahan Kredit Saling Boleh Kendali Bank Negara Malaysia yang memberi mandat kepada PayNet sebagai penyedia infrastruktur pembayaran dikongsi bersama negara untuk melaksanakan standard QR yang sama dan saling boleh kendali bagi Malaysia.



Susulan kenyataan Payments Network Malaysia dan Grab umumkan kerjasama, ia akan mempertingkatkan aplikasi Grab dengan sokongan DuitNow QR pada separuh tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Paynet Group, Peter Schiesser berkata, pada masa ini, penyedia e-dompet menanggung kos pembelian yang besar bagi peniaga kerana mempunyai lingkungan peniaga yang sama bagi rangkaian proprietari masing-masing.

“Dengan DuitNow QR, peniaga perlu mendaftar dengan hanya satu bank atau pemeroleh e-dompet untuk membolehkan pelanggan semua bank yang menyertai dan e-dompet membuat pembayaran DuitNow QR kepada peniaga menggunakan aplikasi mudah alih masing-masing,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Empat bank menawarkan DuitNow QR dalam aplikasi perbankan mudah alih mereka dan 25 bank lagi dijangka mula menawarkan DuitNow QR dalam tempoh enam bulan akan datang.

DuitNow QR adalah lanjutan perkhidmatan DuitNow yang dilancarkan pada Disember 2018 yang membolehkan pelanggan bank memindahkan wang serta-merta dan selamat 24 jam sehari tujuh hari seminggu menerusi Internet atau saluran perbankan mudah alih.

Susulan daripada penyertaan Grab, 15 penyedia e-dompet dan pemeroleh peniaga bukan bank juga memohon menyertai DuitNow.

Schiesser berkata, pemohon berpotensi menjalani proses penilaian dan daya maju yang ketat sebelum kemasukan ke dalam skim DuitNow memandangkan pihaknya memberi penekanan tinggi terhadap aspek keselamatan, jaminan dan kestabilan ekosistem pembayaran.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here