Volkswagen Passat B8 facelift 2019 didedahkan – sistem MIB3, IQ.Drive

2706

Volkswagen Passat generasi B8 facelift telah didedahkan untuk pasaran Eropah. Ia bukan sahaja membawa rekabentuk lebih segar, malah beberapa teknologi baharu.

Di sana, Passat akan ditawarkan dengan varian sedan, wagon dan Alltrack yang lebih tinggi. Tetapi kemungkinan – seperti biasa – hanya varian sedan akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia.



Luaran

Perubahan visual Passat B8 facelift adalah lampu depan LED sebagai standard (juga lebih nipis), gril direka semula dan bampar depan baharu dengan lampu kabus. Terdapat juga pilihan lampu depan LED matriks IQ.Light.

Rekaan semula juga dilakukan di bahagian belakang dimana lampu belakang LED dan bampar mendapat rekaan lebih segar. Jika anda perasan, penutup but Passat facelift ini serupa dengan Arteon.

Dalaman

Di dalam, rekaan papan pemuka secara umumnya tidak berubah. Hanya beberapa perubahan kecil dilakukan seperti jam analog di tengah yang kini diganti dengan butang lampu kecemasan.

Ciri utama pada Passat 2019 ini ialah Modular Infotainment Matrix (MIB3), unit hiburan generasi ketiga seumpanya dari Volkswagen.

Pada pelancaran nanti, tiga sistem akan ditawarkan; Composition Media (6.5 inci, tanpa navigasi), Discover Media (8.0 inci, navigasi peringkat pertama) dan Discover Pro (9.2 inci, navigasi penuh). Kesemua sistem ini akan menyokong fungsi kawalan suara.

Keselamatan

Passat facelift ini bukan sahaja akan memperoleh MIB3 baharu, malah ia akan menjadi model Volkswagen pertama dilengkapi sistem pemanduan separa-berkendiri. Diletakkan di bawah IQ.Drive, sistem bantuan lain termasuklah Travel Assist, Emergency Steering Assist, ACC dengan kawalan meluncur dan Side Assist dengan Rear Traffic Alert.

Sebagai tambahan, terdapat juga Lane Assist, Front Assist dengan Pedestrian Monitoring, Trailer Assist dan sistem Park Assist.

Tiga fungsi pertama disebut tadi akan mampu beroperasi pada kelajuan sehingga 210 km/h. Tetapi pemandu harus mengekalkan dua tangan mereka di roda stereng kerana jika tidak, suatu amaran “tangan teralih” akan muncul.

Enjin

Sama seperti sebelumnya, rangkaian kuasa akan merangkumi TSI petrol TDI diesel dan plug-in hybrid (PHEV)­ untuk GTE. Untuk PHEV ini, Passat akan menggunakan sistem yang telah dikemaskini. Baterinya kini berkuasa 13 kWh dan bukan lagi 9.9 kWh.

Jangkauan jarak pemanduan elektrik kini pada 55km (20km lebih dari sebelum). Untuk mengecaj bateri pula boleh dilakukan dari janaan semula tenaga, enjin atau pengecaj dalam kereta berkuasa 3.6 kW.

Unit elektrik ini akan membantu enjin 1.4-liter TSI dengan 156 PS, motor elektrik dengan 115 PS yang memberikan jumlah output sistem 218 PS. Enjin ini dipadan dengan kotak gear dwi-klac enam-kelajuan.

Untuk versi bukan hibrid, petrol TSI akan dijana oleh enjin 1.5-liter dengan 150 PS dan 2.0-liter dengan 190 hingga 272 PS. Diesel pula bermula dengan 1.6 TDI berkuasa 120 PS, diikuti 2.0 TDI Evo (150 PS) dan 2.0 TDI standard (190 PS atau 240 PS).

Kesemua enjin akan mematuhi piawaian Euro 6d-TEMP. Transmisi dwi-klac atau manual boleh dipilih bergantung kepada varian, termasuk pacuan roda depan dan semua roda.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here