Honda NS-X 1989 ialah kereta pertama gunakan casis monocoque aluminium, sebuah Ferrari mampu milik

4070

Pada 1989, Jepun datang ke AS untuk melancarkan lima kereta lagenda: Lexus LS400, Infiniti Q45, Nissan 300ZX Twin Turbo, Mazda MX-5 Miata dan Acura NS-X. Majalah Motor Trend pada 1990 mendakwa Acura NS-X ialah “Kereta sport terbaik pernah dihasilkan. Bila-bila masa, di mana jua, pada apa-apa harga.”

Pembangunan NS-X bermula pada 1984, setahun selepas Honda kembali ke Formula Satu sebagai pembekal enjin untuk pasukan Spirit, dan sebagai casis kedua Williams dalam perlumbaan akhir musim itu. Untuk pertama kali, honda mahukan sebuah kereta produksi dengan enjin di belakang kabin. Ia juga mampu menunjukkan kehebatan kejuruteraan Honda dan “semangat sukan permotoran yang tinggi”.



Tontonan pertama

Selepas empat tahun pembangunan, Honda meletakkan NS-X Concept dalam sebuah bilik persidangan di Drake Hotel, Chicago pada Februari 1989. Di sinilah media akan melihat jentera merah itu sebelum ditayang kepada umum. Coupe yang dibina berinspirasikan pesawat pejuang F-16 itu dibina di atas casis monocoque aluminium pertama di dunia. Ia juga menggunakan V6 SOHC dengan rod penghubung titanium.

Sebelum siding media dimulakan, presiden Honda pada masa itu, Tadashi Kume masuk ke dalam NS-X, hidupkan enjin dan rev sehingga redline 8,000 rpm. Bunyi itu dirasai oleh semua di dalam ruang itu termasuklah yang sedang menghadiri siding media Ford. Seorang pegawai Honda menjerit, “Mr. Kume, hentikannya! Nanti mereka dengar!”. Nakal sungguh presidennya “belanja”.

Apabila Kume keluar, dia bertanya kepada jurutera-jurutera Honda yang hadir, kenapa tak gunakan VTEC terbaharu untuk NS-X. Para jurutera berkata bahawa VTEC itu untuk enjin empat silinder. Kume memberitahu supaya mencuba untuk penggunaan V6.

Maklum balas media dan Ayrton Senna

Pendapat lain diberikan kepada wartawan-wartawan yang memandu prototaip NS-X di pusat R&D Honda di Tochigi. Mereka berkata NS-X “boleh gunakan lebih kuasa”. Pasukan pembangunan mengambil enjin V6 SOHC dari Acura Legend untuk konsep NS-X itu, ia menghasilkan 160 hp pada sedan mewah Legend.

Satu input sama juga lahir dari Ayrton Senna, yang telah ke Litar Suzuka untuk menguji McLaren F1 yang menggunakan enjin Honda. Pasukan R&D memintanya mencuba NS-X, yang disasarkan untuk menyamai Porsche dan Ferrari dari segi ketegaran badan. Maklum balas Senna: “Saya tidak pasti jika boleh beri pendapat untuk kereta produksi besar-besaran, tapi kereta ini agak rapuh.”

Kembali bekerja

Pasukan pembangunan kembali bekerja. Mereka membina V6 VTEC DOHC yang lebih berkuasa, pada 270 hp. Kepala silinder yang lebih lebar dengan V6 yang dipasang secara transverse bermakna menambah jarak roda serta overhang depan dan belakang. Mereka juga membawa kereta itu ke Nürburgring untuk ujian, apabila mereka menyedari bahawa Senna berkata benar. Jadi mereka menambah baik struktur badan NS-X dan meningkatkan ketegaran sebanyak 50 peratus.

Nama NS-X bermaksud New, Sport dan X mewakili pemboleh-ubah. Pasukan di AS menukarnya kepada New Sports eXperimental. Selepas reaksi positif di Chicago, digabungkan dengan hakikat semua orang di Honda sukakannya, nama NSX tanpa sengkang diberikan lampu hijau.

Tahun ini menandakan ulangtahun ke-30 nama kereta sports lagenda itu. Jarak antara generasi pertama NSX dengan NSX terkini terlalu jauh dan ramai peminat merindukannya. Namun di antara dua zaman itu, NSX telah menempa nama dalam scene kereta seluruh dunia dan paling penting, dalam perlumbaan.

Jemput cuci mata dalam galeri di bawah:

 

Sumber: Autoblog

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here