Mercedes-Benz A-Class Sedan kini di Malaysia, dari RM230k

3541

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini melancarkan model terbaharu dalam barisan Compact Cars mereka iaitu A-Class Sedan.

Jangan terkeliru, ini bukanlah Mercedes CLA, tetapi versi sedan untuk Mercedes A-Class yang diperkenalkan hujung tahun lepas.



A-Class Sedan ditawarkan dalam dua varian iaitu A 200 Progressive Line pada RM229,888 dan A 250 AMG Line pada RM267,888.

Luaran

A-Class Sedan ini berukuran 130mm lebih panjang dari hatchback dan mempunyai jarak roda (wheelbase) yang serupa iaitu 2,729mm.

A-Class Sedan menampilkan rekaan badan dengan drag coefficient terendah dalam kelasnya, iaitu 0.22. Ini dibantu oleh rekaan badan yang licin dan kemas. Ducktail pada penutup but juga membantu di aspek ini.

Berbanding A-Class hatchback, versi Sedan ini mempunyai 50 liter lebih ruang kargo, iaitu 420 liter.

A 200 Progressive Line datang dengan lampu depan LED dengan DRL, rim 18-inci dan lampu belakang LED. A 250 AMG Line pula menerima penampilan lebih sporti dan rim 18-inci aloi AMG.

Dalaman

Ruang kabinnya dikongsi dengan A-Class hatchback, bermakna ia mendapat paparan 10.25-inci untuk panel instrumen dan infotainmen.

Ia juga dilengkapi roda stereng sports, tempat duduk depan berkuasa, lampu suasana dengan 64 warna, Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan arahan suara, Apple CarPlay serta Android Auto.

Sementara A 200 datang dengan kemasan kayu, A 250 pula diberikan kemasan aluminium longitude, roda stereng dengan kulit Nappa serta sisi bawah pintu dengan tulisan AMG menyala.

Enjin dan transmisi

A 200 dipacu oleh enjin 1.33-liter turbo empat-silinder dari Renault. Enjin ini menghasilkan 163hp dan 250Nm tork. Ia mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam 8.1 saat dan mempunyai kelajuan maksima 230km/j.

A 250 pula menerima enjin 2.0-liter turbo empat-silinder M260 yang menjana 224hp dan 350Nm tork. Pecutan ke 100km/j mampu dibuat dalam 6.3 saat dan kelajuan maksima lebih tinggi, iaitu 250km/j.

Kedua-dua varian menggunakan transmisi automatik dwi-klac 7-kelajuan. Namun terdapat perbezaan pada suspensi belakang dimana A 200 diberikan torsion beam manakala A 250 diberikan suspensi multi-link.

Keselamatan

Ciri keselamatan standard pada A-Class Sedan adalah tujuh beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar, sistem penggera anti-pencuri, Active Brake Assist, Active Parking Assist dan kawalan lampu tinggi.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here