PM guna ‘Accordana’ limousin, ini evolusi Perdana yang perlu anda tahu

5652

Proton Perdana V6 dalam bentuk Eksekutif memiliki jarak roda 10 inci. Sedan berasaskan Mitsubishi Eterna itu memulakan jenama Proton Perdana pada tahun 1995 dan kekal dalam perkhidmatan sehingga 2010.

Ia dilengkapi dengan enjin Mitsubishi 4G63 2.0 liter 4-silinder yang menghasilkan kuasa 135hp dan tork 176Nm.



Ketika dilancarkan sedan segmen-D itu menawarkan kotak gear manual 5-kelajuan namun dihentikan tidak lama kemudian lalu digantikan dengan transmisi automatik empat kelajuan yang terbukti lebih popular.

Sedan berkenaan merupakan model pertama Proton yang didatangkan dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dan kawalan kruise.

Dijual pada harga RM85,000 pada tahun 1995, ia menjadi model popular Proton. Kemudian pada akhir 1998, enjin 6A12 2.0 liter V6 yang lebih berkuasa  diperkenalkan dengan output 148hp dan tork 179Nm tork. 

Selepas melalui beberapa kitaran produk, model itu dihentikan pada 2010 yang mana Proton tidak lagi menawarkan segmen-D di pasaran.

PROTON ACCORDANA

Perdana limousin yang digunakan oleh Muhyiddin.

Sehinggalah Perdana generasi kedua dilancarkan pada penghujung 2013. Namun kali ini, ia berasaskan Honda Accord generasi ke-8 bagi mengisi ‘gap’ pasaran. 

Model kejuruteraan lencana itu hanya mengalami perubahan minimum pada reka bentuk asal. Bahkan model itu digelar dengan nama samaran ‘Accordana’.

Awalnya ia hanya dijual kepada kerajaan dan bukan buat orang awam. Kemudian Proton mengumumkan versi awam Perdana yang juga berasaskan Accord pada 2016.

Mengalami beberapa perubahan dalaman dan luaran, model itu menggunakan enjin Honda yang ditawarkan dalam dua pilihan 2.0 liter (154hp/189Nm) dan 2.4 liter i-VTEC (177hp/222Nm).

Bagaimanapun ada dua versi jarak roda Accordana dipertontonkan ketika majlis previu yang dianjurkan oleh Proton tujuh tahun lalu. 

Jarak roda 18 inci digunakan oleh menteri kerajaan yang menawarkan ruang kaki belakang lebih lapang. Model ini  digunakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadap Agong pagi tadi.

Selain itu, Perdana limousin berkenaan juga digunakan oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan nombor plat W11N dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin (W9M) ketika itu.

Majlis penyerahan model limo kepada kedua-dua pemimpin negara itu dilakukan oleh DRB Hicom pada majlis pelancaran Proton Perdana 2013.

PM10 PERDANA

Namun, Perdana limousin yang digunakan oleh PM10 sedikit berbeza yang mana memiliki penggayaan luaran Perdana yang dilancarkan pada 2016.

Boleh dilihat kemasan krom perumah lampu kabus ditarik sepanjang gril bawah. Bahkan model 2.4 liter itu didatangkan dengan spoiler but, kemasan krom pada but belakang, dan lampu utama HID.

Baca juga >> Sedar diri tak mampu, doktor ‘tolak’ VW Passat ganti dengan Proton Perdana terpakai

Baca juga >> Misteri Proton Perdana di bangunan kosong di UK bersama kereta mewah

Bagaimanapun, tahukah anda ada versi yang lebih panjang iaitu 32 inci. Hanya lima unit dikeluarkan yang mana salah satunya milik Tun Mahathir menggunakan nombor plat “Proton 2020”.

Perdana limousin 32 inci Tun Mahathir yang dikustom

Versi lebih panjang itu mendapat sentuhan peribadi Tun M menerusi rim OZ Racing Italia 150 dan kabin belakang yang ditempah sepenuhnya.

Kabin menggunakan pilihan warna merah dengan mesin Nespresso. Dua tempat duduk individu juga boleh dilaraskan secara elektrik yang mana kawalan dipasang pada panel pintu acah Mercedes-Benz.

Sistem audio menggunakan jenama Bose. Jadi inilah evolusi Perdana di pasaran tempatan dan buat pertama kalinya kita dapat melihat PM 10 menggunakan Perdana limousin selepas muncul dengan Toyota Camry

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here