Penggunaan CRS: JPJ tak akan keluarkan saman dalam tempoh 6 bulan

1946

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan kaedah pencegahan dan pendidikan kepada orang ramai berhubung penguatkuasaan penggunaan CRS atau kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS).

Penggunaan CRS

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, ia berdasarkan arahan daripada Kementerian Pengangkutan, JPJ mula melaksanakan penguatkuasaan penggunaan CRS mulai 1 Januari lalu.



“Bagaimanapun, kita akan kuatkuasakan melalui pendidikan terlebih dahulu. Maknanya akan melaksanakan pendidikan serta pencegahan.

“JPJ tidak akan secara terus atau mudah menyaman sesiapa yang belum memasang CRS ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan beritahu dan mendidik orang awam.

Penggunaan CRS

“Apa yang kita lakukan di peringkat awal ialah melalui statistik terlebih dahulu. Kita akan tanya orang kenapa tak pakai CRS, lepas itu kita didik mereka.

“Kita akan kemas kini statistik dan dapat mengetahui berapa yang tiada CRS serta laporkan kepada kementerian,” katanya.

Menurutnya, sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan saman tidak akan dikeluarkan lagi.

Shaharuddin berkata, selepas tempoh enam bulan pihaknya akan menilai semula apa yang perlu dilakukan oleh JPJ kelak berhubung penguatkuasaan pemasangan CRS.

“Kita tidak mahu dilihat terlalu kejam kepada orang awam walaupun JPJ diarahkan membuat penguatkuasaan kerana kita kena memahami keadaan ini.

“Pihak pembekal CRS juga masih belum bawa kemudahan itu ke Malaysia dan mereka pun kena melihat piawaian CRS yang sudah ditetapkan,” katanya.

Mengenai penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar belakang, Shaharuddin berkata, JPJ sudah melaksanakan penguatkuasaan berhubung perkara itu sejak 2017.

“Bagaimanapun, kita masih lagi melaksanakan secara menyeluruh kerana ingin mendidik pengguna untuk memakai tali pinggang keledar belakang.

“Kalau ada penumpang belakang tidak pakai tali pinggang keledar, kita tidak saman sebaliknya didik mereka dahulu sama seperti CRS ini dan kita akan lihat semula dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Mengenai permit masuk kenderaan (VEP) dari Singapura, beliau berkata, perkara itu masih lagi ditangguhkan. Ini kerana JPJ masih berurusan dengan pengguna dari negara berkenaan bagi pemasangan sistem pengenalan frekuensi radio (FRID).

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here