Sony buat kejutan di CES 2020 dengan sebuah kereta elektrik!

2476

Ya, Sony telah mendedahkan sebuah kereta elektrik sebenar di pameran CES 2020 hari ini. Ia kenderaan prototaip pertama di bawah usaha mobiliti Sony yang dipanggil Vision-S.

Menurut gergasi teknologi itu, Sony Vision-S dibina untuk mempamerkan teknologi automotif yang dibangunkan olehnya. Sony juga telah bekerjasama dengan beberapa syarikat seperti Bosch, Continental, NVIDIA dan Qualcomm untuk menghasilkan sedan itu.



Ia dipenuhi dengan 33 pengesan yang dikatakan untuk pemanduan autonomi, teknologi Reality Audio 360, paparan skrin lebar dan beberapa ciri lain.

Sony tidak mendedahkan begitu banyak maklumat semasa pelancaran itu, namun jangkakan maklumat lanjut bakal diumumkan kelak.

Prototaip ini menggabungkan banyak teknologi Sony berkaitan penderiaan dan pengimejan, serta teknologi dalam AI, telekomunikasi dan cloud.

33 pengesan yang dikatakan tadi diletakkan di sekeliling ruang dalaman dan luaran kenderaan itu. Ia terdiri dari pengesan imej CMOS HDR beresolusi tinggi untuk mengesan jalan, objek, warna dan radar untuk membaca kelajuan dan jarak.

Kemudian terdapat pengesan Time of Flight (ToF) yang mampu mengesan dan mengecam orang serta objek di dalam serta luar kereta.

Semua pengesan dan teknologi ini digabungkan untuk dijadikan apa yang Sony gelar “Safety Cocoon Concept”. Pada masa ini, kemahiran pemanduan autonomi kereta ini ialah Tahap 2.

Ini bermakna ia mampu mengawal sepenuhnya pecutan, brek dan stereng, namun pemandu harus memantau respon kereta sekiranya sistem ini tidak berfungsi.

Vision-S dikuasakan oleh dua motor elektrik 200kW, membolehkan ia memecut 0-100km/j dalam 4.8 saat dan kelajuan maksima 240km/j.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here