Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin dipapar dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun 4

14918

Sudah seminggu kita di tahun 2020, mungkin bagi anda yang berhasrat melihat kereta terbang sudah kecewa pada saat ini.

Apa pun, sesuatu yang agak menarik dan membanggakan bagi peminat permotoran tanah air ialah apabila penunggang MotoGP negara, Hafizh Syahrin muncul dalam buku teks Bahasa Melayu tahun 2020.



Ya, bukan sekadar gambar atau petikan sedikit, tetapi kisahnya yang agak lengkap berserta soalan pemahaman dipaparkan dalam buku teks Tahun 4 itu. Kisah Hafizh Syahrin dipaparkan satu muka surat penuh di bawah tajuk Idola di Litar.

Berikut adalah antara petikan dalam buku teks itu:

Hafizh Syahrin bin Abdullah merupakan anak kelahiran Selangor. Beliau dilahirkan pada 5 Mei 1994. Beliau telah mengharumkan nama negara dalam bidang sukan permotoran.

Beliau mula berkecimpung dalam dunia sukan permotoran sejak tahun 2007.

Pada tahun 2012, Hafizh Syahrin berjaya menaiki podium di tempat ketiga dalam kategori Pelumba Jemputan Kelas Moto2.

Hafizh Syahrin melakar sejarah menjadi pelumba pertama negara dan Asia Tenggara yang berlumba di kelas utama MotoGP.

Antara soalan pemahaman pula adalah seperti berikut:

Siapakah pelumba dalam sukan permotoran negara?

Apakah kejayaan yang telah diperolehi beliau?

Mengapakah semangat beliau harus dicontohi?

Sekiranya kamu berminat untuk berlumba, dimanakah tempat yang sesuai? Mengapa?

Kami amat tertarik dengan penemuan ini dan merasakan sukan permotoran layak mendapat pendedahan kepada pelajar-pelajar di negara kita.

Sukan permotoran wajar diberikan satu cabang peluang kerjaya sama dengan bidang-bidang profesional lain seperti perubatan, kejuruteraan, undang-undang dan pendidikan.

Jika di zaman penulis bersekolah rendah dulu, hanya nampak cita-cita jadi doktor, peguam, askar dan bomba sahaja. Nak rare sikit mungkin juruterbang, ahli kimia, atau jurutera.

Beruntung adik-adik kita sekarang dapat pendedahan mengenai sukan permotoran. Moga ada yang mendapat inspirasi dari kisah ringkas ini dan menemui jalan untuk menjadi pelumba profesional dan mengharumkan nema negara.

Hafizh Syahrin sememangnya “Idola di Litar”!

3 KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here