BMW 320i hadir sebagai penambahan terbaru dalam 3-Series

2790

BMW Malaysia telah mendedahkan varian terbaharu untuk 3-Series G20 di negara ini, iaitu 320i M Sport. Ia juga dipasang di fasiliti pemasangan syarikat itu di Kulim, sama seperti 330i M Sport CKD yang dilancarkan sebelum ini.

Turut dilancarkan ialah kembar SUV, iaitu BMW X1 sDrive20i yang juga didatangkan dengan pakej M Sport dan dipasang tempatan (CKD).



BMW 320i M Sport ini dijual pada harga RM243,800 dan manakala X1 sDrive20i berharga RM233,800.

Kedua-dua jentera ini hadir dengan jaminan 5 tahun tanpa had perbatuan, program servis percuma, jaminan tayar 2 tahun, bantuan tepi jalan dan kemalangan, aplikasi mudah alih BMW Group Loyalty, dan servis dalam talian BMW.

BMW 320i M Sport

Dari luar, BMW 320i dapat dibezakan dari lampu LED, lampu kabus LED, rim aloi ringan 18-inci, dan air curtain (corong udara) yang diintegrasikan dengan apron depan berbentuk T.

Rekabentuk ini dibangunkan oleh Jawatankuasa Penasihat Aeronautik Kebangsaan (NACA) untuk komponen kemasukan udara ke dalam enjin jet.

Kabin 320i ini didatangkan dengan BMW Live Cockpit Plus – iaitu sebuah kluster instrumen analog dengan paparan bersaiz 5.7 inci berserta paparan kawalan sesentuh 8.8 inci.

Enjin ialah unit 2.0-liter TwinPower Turbo seperti pada 330i, tetapi pada 320i ini mempunyai output 184hp dan 300Nm tork.

Dipadankan dengan transmisi automatic sport 8-kelajuan, BMW 320i mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam 7.1 saat sahaja.

Lima warna ditawarkan; Biru (Mediterranean Blue), Hitam (Black Sapphire), Putih (Alpine White), Kelabu (Mineral Grey) dan Jingga (Sunset Orange), dipadankan dengan upholsteri premium “Black Leather Vernasca”.

BMW X1 sDrive20i M Sport

X1 pula hadir dilengkapi dengan gril ‘kidney’ dengan dua bahagian berkembar kini disatukan di tengah, bampar dengan lampu kabus LED, dan DRL berbentuk heksagon.

Dengan kit M Sport, ketinggian SUV ini kini diturunkan sebanyak 10mm menerusi suspensi M Sport. Selain itu, ia mendapat pakej aerodinamik M, ekzos berkembar lebih besar, dan rim aloi ringan 18-inci 570 M.

Di dalam, terdapat kemasan aluminium dan disulami dengan krom mutiara di papan pemuka. Elemen infotainment ialah skrin sentuh 8.8-inci dengan sistem navigasi yang terletak di tengah papan pemuka.

Ia boleh digunakan untuk mengawal fungsi-fungsi hiburan dan navigasi, dengan kawalan suara serta Pengawal iDrive di konsol sentral yang disediakan sebagai kaedah input alternatif.

Nadi kepada X1 sDrive20i ini ialah enjin 2.0-liter petrol empat silinder yang mampu menghasilkan 192hp dan 280Nm tork.

Transmisi pula ialah unit automatik dwi-klac 7-kelajuan Steptronic Sport yang mampu membantu X1 ini mencapai 100km/j dalam masa 7.6 saat.

SUV ini ditawarkan dalam 4 warna, Biru (Misano Blue), Hitam (Black Sapphire), Putih (Alpine White) dan Kelabu (Mineral Grey), yang digandingkan dengan upholsteri premium “Black Leather Dakota”.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here