Kejuaraan US Legend Cars 2020 bermula – platform menuju ke NASCAR

1224

Tahukah anda bahawa kini anda mempunyai platform untuk memulakan kerjaya sebagai pelumba profesional NASCAR?

Dan tahukah anda bahawa Malaysia mempunyai litar oval racing sendiri? Ya, ia terletak di Gopeng, Perak.

Platform yang dikatakan tadi ialah siri perlumbaan US Legend, dan siri kejuaraan Liqui Moly US Legend Championship Malaysia 2020 baru sahaja dilancarkan.

Ia menampilkan dua kelas perlumbaan, iaitu Legend Car (untuk amateur dan profesional) dan Bandolero (untuk kanak-kanak dari 8 hingga 15 tahun).

Untuk Legend Car, terdapat tiga kategori iaitu novis, kebangsaan dan antarabangsa. Untuk Bandolero pula hanya dikhaskan untuk pelumba novis.

Walaupun US Legend ini telah berada di Malaysia sejak 2018, ini kali pertama US Legend bersama dua kelas perlumbaan ini diperkenalkan sebagai kejuaraan penuh.

Menariknya, kedua-dua kelas Legend Car dan Bandolero menyediakan medan persaingan sama rata untuk semua pelumba kerana semua kereta adalah sama. Maka, semua pelumba mendapat peluang yang adil dan kemenangan adalah bergantung kepada kemahiran pelumba.

Selain itu, siri perlumbaan ini juga menawarkan pakej harga mampu milik bagi mereka yang mahu serius berkecimpung dalam dunia perlumbaan bermotor sebenar. Dengan dua kelas disebut tadi, si ayah dan anak boleh sama-sama berlumba!

Buat masa ini, kejuaraan US Legend telah menarik penyertaan bukan sahaja dari Malaysia, malah Australia, China dan Hong Kong.

Spesifikasi jentera

Legend Car dikuasakan oleh enjin Yamaha FJ1200 dengan 132hp, dan mempunyai berat minimum 590kg termasuk pemandu.

Jentera Bandolero pula dipacu oleh enjin Briggs & Stratton Vanguard 570cc yang berkuasa 30hp. Berat minimum termasuk pemandu pula ialah 340kg.

Nisbah kuasa-kepada-berat jentera-jentera ini menjadikannya cukup pantas dan lincah di litar dan mampu memecut sama seperti kereta lumba sedan biasa. Kereta Legend Car dikatakan mempunyai kelajuan maksima 190km/j.

Namun di litar Gopeng Motor Speedway sepanjang 240m ini, kelajuan maksima pernah dicatat ialah 89km/j.

Berminat berlumba?

Yuran penyertaan untuk anda berlumba dalam kelas Legend Car hanyalah RM3,000 setiap pusingan. Ini sebenarnya agak berbaloi jika diambil-kira yuran tadi termasuk semua persiapan kereta, sewaan, minyak, tayar, pad brek dan sokongan teknikal.

Bandolero pula boleh disertai dengan RM2,000 setiap pusingan, termasuk semua kos disebutkan tadi.

Pusingan 1 kejuaraan ini akan bermula pada 13 Mac, diikuti Pusingan 2 pada 17-18 April, Pusingan 3 pada 19-20 Jun, Pusingan 4 pada 17-18 Julai, Pusingan 5 pada 21-22 Ogos dan Pusingan 6 pada 25-26 September.

Untuk menyertai atau maklumat lanjut, anda boleh layari https://www.uslcmy.com/, hubungi pejabat di 05-241 3560 atau berhubung terus dengan pengarah US Legend Cars Malaysia Motorsport, Stephen C.H. Loh di 019-358 6868.

Kami juga sempat diberi peluang memandu uji jentera Legend Car di litar Gopeng itu untuk beberapa pusingan. Nantikan laporan dan video itu nanti.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here